Guru ponteng kelas: Pengetua gelar kami ‘bodoh’: Saksi

15 Nov 2022 • 4:17 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Pengetua sebuah sekolah menengah di Kota Belud di mana seorang guru Bahasa Inggeris enggan mengajar subjek Bahasa Inggeris selama tujuh bulan kepada pelajar tingkatan empatnya lima tahun lalu, menggelar pelajar-pelajar ‘bodoh’ apabila mereka (pelajar) mengadu mengenai perkara itu.

Calvina Angayung, 21, dalam kenyataan saksinya berkata, pengetua itu telah menyebut perkataan ‘bodoh’ sebanyak dua kali selain menjerit ke arah mereka apabila mereka mengadu guru Bahasa Inggeris tidak masuk ke kelas mereka.

Calvina, yang merupakan plaintif ketiga bersama dua lagi bekas pelajar sekolah itu iaitu plaintif pertama Rusiah Sabdarin dan plaintif kedua Nur Natasha Allisya Hamali, menyaman guru Mohd Jainal Jamrin (Cikgu JJ) (defendan pertama), Hj Suid Hj Hanapi (dalam kapasitinya sebagai pengetua SMK Taun Gusi)(defendan kedua), Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (defendan ketiga), Menteri Pendidikan Malaysia (defendan keempat) dan Kerajaan Malaysia (defendan kelima).

Antara lain, mereka mendakwa guru itu gagal hadir ke kelas untuk mengajar subjek itu selama tujuh bulan pada 2017 manakala defendan lain tidak mengambil tindakan sewajarnya walaupun telah dimaklumkan mengenai perkara itu.

Calvina memberitahu mahkamah bahawa pada 1 Nov 2017, dia dan rakannya Rusiah, Fadzley dan Aishah telah bertemu pengetua dan mereka telah menggunakan jam tangan audio untuk merakam perbualan mereka dengan pengetua.

“Apabila kami berjumpa pengetua, kami telah bertanya kepadanya sama ada dia tahu tentang masalah seorang guru tidak masuk ke kelas kami, yang mana dia menjawab dia tidak tahu mengenainya dan berkata dia hanya tahu tentang isu itu apabila Cikgu Awang membuat laporan kepadanya.

“Pengetua memberitahu kami bahawa kami tidak bertanggungjawab kerana tidak melaporkan masalah ini lebih awal. Dia juga memaklumkan kepada kami bahawa Cikgu JJ tidak akan dikenakan sebarang tindakan kerana ketika itu sudah pun akhir tahun,” kata Calvina yang merupakan saksi kelima dalam perbicaraan itu.

Menurut Calvina, tiada sebarang tindakan dilakukan oleh pihak sekolah berhubung masalah itu walaupun telah berjumpa beberapa guru serta pengetua.

Calvina seterusnya memberi keterangan bahawa dia dan rakan-rakannya telah cuba memanggil Cikgu JJ untuk memasuki kelas mereka tetapi dia enggan berbuat demikian.

Dia berkata ada masanya Cikgu JJ sepatutnya mengajar mereka pada sesi pagi tetapi apabila mereka cuba menghubunginya, mereka ternampak guru itu di kantin bersama-sama dengan guru lain sedangkan dia sepatutnya mengajar mereka pada masa itu.

Kepada soalan, Calvina berkata mereka memfailkan saman itu pada 2020 kerana mereka mahu menunggu sehingga mereka mencapai umur 18 tahun sebab tidak mahu ibu bapa mereka mewakili mereka.

Calvina memaklumkan kepada mahkamah bahawa impak yang dialaminya selepas memfailkan kes di mahkamah, dia kehilangan rakan-rakannya kerana mereka merupakan pelajar kegemaran Cikgu JJ dan guru lain juga seolah-olah tidak mengenalinya jika mereka terserempak dengannya di mana-mana.

Menurut Calvina, dia terpaksa berpindah ke SMK Narinang untuk menyambung Tingkatan Enam kerana dia tidak mahu keputusannya terjejas jika mereka tahu dia memfailkan saman terhadap sekolah itu.

Dia seterusnya berkata, selepas saman itu dikeluarkan, dia menerima banyak penghinaan menerusi media sosial.

Ketiga-tiga plaintif kini diwakili oleh peguam Sherzali Herza Asli manakala Peguam Kanan Persekutuan Mohd Hafizi Abd Halim bersama Peguam Persekutuan Fazriel Fardiansyah Abdul mewakili defendan.

Perbicaraan bersambung.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.