
KUALA LUMPUR — Seorang guru yang merempuh dua pelajar di hadapan surau sekolah sehingga mengorbankan seorang daripada mereka, direman dua hari bagi membantu siasatan.
Perintah reman terhadap guru wanita berusia 57 tahun itu bermula hari ini hingga esok dikeluarkan oleh Majistret Wan Muhammad Izzat Wan Abdullah di Mahkamah Majistret Kota Bharu.
Reman tersebut bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Terdahulu, seorang pelajar perempuan Tingkatan Satu dilaporkan maut manakala seorang lagi cedera parah selepas dirempuh kenderaan yang dipandu guru wanita berkenaan, di hadapan surau Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Mas.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Azmir Damiri berkata, kejadian yang berlaku pada jam 1.50 tengah hari itu melibatkan seorang pemandu kereta dan dua mangsa yang merupakan pelajar perempuan.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati pemandu wanita terbabit dipercayai telah menekan pedal minyak sehingga menyebabkan kenderaan dipandunya hilang kawalan sebelum merempuh kedua-dua mangsa.
Akibat kejadian, seorang mangsa yang juga pelajar Tingkatan Satu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Seorang lagi mangsa pula mengalami kecederaan serius dan kini sedang menerima rawatan di hospital. — Getaran, 13 April 2026






