IPOH - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan suasana rundingan melibatkan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) kini jauh berbeza berbanding pengalamannya ketika menerajui Kementerian Pendidikan 40 tahun lalu.
Anwar berkata, ketika itu sekolah-sekolah Cina dilihat terpisah sepenuhnya daripada landasan pendidikan kebangsaan, malah pemimpin persatuan pendidikan enggan bertutur dalam bahasa Melayu.
Beliau berkata, keadaan itu pernah menyebabkan Ketua Pengarah Pendidikan ketika itu, Allahyarham Tan Sri Abdul Rahman Arshad berasa tersinggung dan bertindak meninggalkan majlis rundingan.
ARTIKEL BERKAITAN: Iktiraf UEC: Zambry, Fadhlina tidak boleh dimaafkan, perlu letak jawatan - Hassan Karim
"Itu 40 tahun yang lalu. Tetapi pertemuan sekarang, semua wakil persatuan sudah bercakap dalam bahasa Melayu. Malah, lebih 80 peratus pelajar sekolah-sekolah Cina ini mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
"Itulah sebabnya mengapa kita buat keputusan," katanya ketika berucap dalam Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan ke-55 di Pusat Konvensyen Casuarina@Meru di sini pada Sabtu.
Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
**media[3522493]**
Anwar menegaskan bahawa keputusan kerajaan berhubung pengiktirafan UEC dibuat dengan pendekatan seimbang, termasuk menetapkan syarat wajib lulus atau kepujian dalam bahasa Melayu dan Sejarah.
Katanya, syarat tersebut adalah terpakai kepada semua aliran sekolah termasuk sekolah antarabangsa, sekolah tahfiz dan sekolah aliran Arab.
"Dalam hidup ini mesti ada semangat tolak ansur. Yang kita tidak boleh tolak ansur adalah unsur bahasa. Mahu menjadi rakyat Malaysia, mesti faham bahasa kebangsaan, sejarah negara, Perlembagaan dan perjuangan kemerdekaan," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Dong Zong kecewa syarat kemasukan pelajar UEC ke universiti awam, dakwa banyak sekatan
Menteri Kewangan itu turut mengulangi peringatan agar isu UEC tidak terus dipolitikkan, sebaliknya mengutamakan semangat tolak ansur dan kasih sayang dalam membina sistem pendidikan yang inklusif.
"Jadi saudara-saudara, sudahlah. Negara ini perlukan guru yang fokus kepada pendidikan," katanya.






