Peranan guru semakin genting bentuk generasi berakhlak, berjiwa besar - PM

LocalPolitics
16 May 2026 • 11:46 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Peranan guru semakin genting bentuk generasi berakhlak, berjiwa besar - PM
Anwar beramah mesra bersama warga pendidik ketika hadir pada Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali Ke-55 Tahun 2026 pada Sabtu. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Peranan guru kini semakin genting dalam mendepani dunia yang kian kompleks, khususnya bagi membentuk generasi berakhlak, berjiwa besar dan berteraskan nilai kemanusiaan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, tugas guru tidak lagi sekadar menyampaikan ilmu, sebaliknya membina keyakinan, mengangkat maruah insan dan menanam harapan serta cita-cita dalam kehidupan.

"Hari ini kita mengiktiraf jasa, pengorbanan dan dedikasi para guru yang menjadi tunjang pembinaan anak bangsa serta mencorakkan akhlak, nilai dan ketamadunan negara kita.

"Tatkala cabaran dunia menjadi semakin kompleks, peranan guru semakin genting dalam membentuk generasi yang memiliki kekuatan akhlak dan jiwa untuk mewarnai ilmu dengan nilai kemanusiaan serta kebijaksanaan, selaras dengan citra MADANI,” kata beliau menerusi hantaran di laman Facebook bersempena dengan sambutan Hari Guru pada Sabtu.

Anwar berkata, tanpa nilai dan adab, pembangunan hanya akan melahirkan kemajuan yang kehilangan arah.

Perdana Menteri turut mengimbau pengalamannya sebagai tenaga pengajar ketika menubuhkan Yayasan Anda Akademik pada awal 1970-an, yang menurut beliau membuka mata terhadap realiti kehidupan anak muda daripada keluarga susah dan tercicir pendidikan yang datang dengan kegelisahan tentang masa depan mereka.

"Pengalaman itu mengajar saya bahawa tugas seorang guru jauh lebih besar daripada sekadar menyampaikan ilmu, sebaliknya membina keyakinan diri, mengangkat maruah insan serta menanam harapan dan cita-cita dalam kehidupan pelajar,” kata beliau.

Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga pendidik atas jasa, pengorbanan dan dedikasi mereka sebagai tunjang pembinaan anak bangsa dan negara.

"Moga seluruh warga pendidik terus dikurniakan kekuatan, kecekalan dan iltizam dalam mendidik anak bangsa demi Malaysia yang lebih maju, sejahtera dan mampan,” kata beliau.

Sambutan Hari Guru tahun ini yang bertemakan ‘Guru Bitara, Nadi Negara’ diadakan di Ipoh, Perak dan dirasmikan oleh Anwar. - Bernama

 

 

View Original Article