KUALA LUMPUR - Seorang guru tahfiz mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ampang hari ini, atas empat pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua pelajar lelaki di sebuah maahad tahfiz di Taman Keramat, di sini.
Muhammad Ilyas Jamaludin, 35, didakwa melakukan perbuatan itu terhadap dua kanak-kanak lelaki, masing-masing berumur 10 dan 11 tahun di premis berkenaan, antara Julai hingga Ogos 2026.
Lelaki itu didakwa melakukan kesemua kesalahan itu ke atas dua kanak-kanak lelaki berumur 10 dan 11 tahun, di sebuah maahad tahfiz di Taman Keramat pada Julai hingga Ogos 2026.
Pertuduhan mengikut Seksyen 14(a) dan 14 (b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama.
Seksyen 14 (a) dan 14 (b) memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebat, manakala Seksyen 16(1) membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan tidak kurang dua sebatan, jika sabit kesalahan.
Lelaki itu juga berdepan Seksyen 15(f) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nadiah Malek Fauzie tidak menawarkan jaminan atas alasan kesalahan yang dilakukan Muhammad Ilyas adalah serius, selain dibimbangi akan mengganggu mangsa sekiranya dibebaskan.
Bagaimanapun, peguam Mohd Zaharudeen Harun yang mewakili lelaki itu, memohon jaminan RM10,000 bagi kesemua pertuduhan dengan alasan anak guamnya telah diberhentikan kerja serta-merta dan perlu menanggung ibu bapa yang uzur.
"Saya difahamkan pihak madrasah telah menamatkan perkhidmatan tertuduh serta-merta dan tiada sebarang isu untuk dia hadir ke madrasah tersebut bagi mengganggu saksi atau mangsa,” kata peguam itu.
Hakim Ho Kwong Chin membenarkan lelaki itu diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua empat pertuduhan, berserta syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berhampiran kediaman setiap bulan dan tidak mengganggu saksi atau mangsa sehingga kes selesai.
Mahkamah turut menetapkan 5 Oktober ini untuk sebutan kes. - Bernama





