Guru tahfiz nafi ‘sentuh’ dua pelajar lelaki

24 Aug 2026 • 3:25 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Guru tahfiz nafi ‘sentuh’ dua pelajar lelaki

AMPANG – Seorang guru tahfiz mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua pelajar lelaki.

Tertuduh yang berusia 35 tahun membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas keempat-empat pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Ho Kwong Chin.

Mengikut keempat-empat pertuduhan itu, tertuduh didakwa telah melakukan amang seksual fizikal ke atas dua kanak-kanak lelaki berumur 10 dan 11 tahun (umur ketika kejadian) di sebuah maahad tahfiz di Taman Keramat di sini pada Julai hingga Ogos 2026.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) dan 14 (b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama.

Seksyen 14 (a) dan 14 (b) memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebat manakala Seksyen 16(1) berdepan hukuman penjara maksimum lima tahun dan tidak kurang dua sebatan, jika sabit kesalahan.

Lelaki itu juga berdepan Seksyen 15(f) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Nadiah Malek Fauzie tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah serius dan sekiranya jaminan dikenakan bimbang tertuduh mengganggu mangsa.

Bagaimanapun peguam Mohd. Zaharudeen Harun mewakili tertuduh memohon jaminan RM10,000 bagi kesemua pertuduhan memandangkan anak guamnya yang belum berkahwin telah diberhentikan kerja sebagai tenaga pengajar di maahad tahfiz itu serta-merta.

“Saya difahamkan pihak madrasah telah menamatkan perkhidmatan tertuduh serta-merta dan tiada sebarang isu untuk dia hadir ke madrasah tersebut bagi mengganggu saksi atau mangsa,” kata peguam itu.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, Hakim Kwong Chin membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berhampiran serta dilarang mengganggu saksi atau mangsa.

Tarikh 5 Oktober ditetapkan sebagai ditetapkan sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE

The post Guru tahfiz nafi ‘sentuh’ dua pelajar lelaki appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved