
PETALING JAYA: Seorang guru tuisyen yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan melakukan amang seksual dan persetubuhan luar tabii terhadap lima pelajar lelaki disambung reman.
Reman lelaki berusia 46 tahun itu disambung sehingga 21 Oktober ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, kesemua mangsa yang terbabit berusia antara 12 hingga 16 tahun.
Suspek ditahan pada 10 Oktober lalu kira-kira pukul 11.30 malam di pekarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.
“Suspek kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras bagi siasatan lanjut,” katanya di sini hari ini.
Semalam, tangkapan terhadap suspek dilakukan selepas satu laporan polis dibuat pada 6 Oktober lalu.
Kemudian, laporan kedua diterima polis pada 10 Oktober, manakala tiga lagi laporan diterima pada 11 Oktober.
Siasatan polis mendapati, perbuatan terkutuk itu didakwa dilakukan di rumah suspek yang turut dijadikan sebagai pusat tuisyen.
Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan serta Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792). – UTUSAN
The post Guru tuisyen lakukan amang seksual disambung reman appeared first on Utusan Malaysia.






