
BATU PAHAT – Perbuatan keji seorang guru tuisyen lelaki dipercayai melakukan amang seksual fizikal terhadap dua anak murid perempuan terbongkar selepas salah seorang mangsa berusia enam tahun menceritakan kejadian itu kepada ibu bapanya.
Susulan itu, lelaki berusia 32 tahun berkenaan ditahan polis semalam bagi membantu siasatan kes yang dipercayai berlaku di sebuah pusat tuisyen di Taman Bukit Perdana di sini, minggu lalu.
Siasatan awal mendapati kejadian berlaku Rabu lalu, antara pukul 7 malam hingga 8 malam ketika mangsa mengikuti kelas yang diajar suspek.
Perbuatan itu terbongkar apabila mangsa pulang ke rumah sebelum menceritakan kejadian berkenaan kepada ibu bapanya.
Ibu kepada salah seorang mangsa kemudian membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut.
Susulan laporan itu, polis menjalankan siasatan sebelum menahan suspek yang masih bujang.
Polis turut merampas rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di pusat tuisyen berkenaan yang dipercayai merakam perbuatan suspek.
Setakat ini, polis menerima laporan membabitkan dua mangsa dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti kemungkinan terdapat mangsa lain.
Suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini selepas perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Aimi Nawwar Mohamad Othman bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.-KOSMO! ONLINE
The post Anak murid enam tahun bongkar perbuatan keji guru tuisyen appeared first on Kosmo Online.






