GV platform terbaik hidupkan semula kerjaya penyanyi – Shila Amzah

EntertainmentMusic
11 Nov 2026 • 5:00 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: GV platform terbaik hidupkan semula kerjaya penyanyi – Shila Amzah

PETALING JAYA: Penyanyi, Shila Amzah menyifatkan program realiti, Gegar Vaganza (GV) sebagai platform terbaik untuk menghidupkan semula kerjaya sebagai penyanyi.

Shila atau Nurshahila Amir Amzah, 36, berkata, program realiti itu memberi peluang kepada penyanyi lama atau penyanyi muda untuk kembali menyerlah dan membuktikan kemampuan mereka dalam industri muzik.

“Bagi saya, GV sememangnya satu platform yang sangat bagus untuk menghidupkan semula kerjaya kita sebagai penyanyi, tidak kira penyanyi lama atau muda.

“Macam saya sendiri, saya masuk GV9 pada tahun 2022. Pada ketika itu, saya sudah 22 tahun dalam bidang ini,” katanya menerusi satu hantaran di Threads miliknya.

Berdasarkan pengalamannya menyertai GV, Shila berkata, disiplin menjaga latihan, pemakanan dan waktu tidur amat penting bagi memastikan peserta kekal cergas dari segi mental dan fizikal sepanjang pertandingan.

“Masuk pertandingan macam GV ini, kalau betul-betul berlatih seperti, jaga pemakanan, jaga tidur, dan senaman, memang kita dpt membentuk satu disiplin yang baru serta mental dan fizikal lebih kuat,” ujarnya.

Bagaimanapun, Shila berkata, peserta perlu mempunyai strategi tersendiri memandangkan pertandingan itu berlangsung setiap minggu dengan tema dan pilihan lagu berbeza.

“Cuma, bila kita masuk pertandingan mingguan ini , perlulah susun strategi dan “senjata” yang betul.

“Sebagai contoh, jika pertandingan berlangsung selama 12 minggu, setiap minggu mempunyai tema dan lagu tersendiri yang perlu dipilih dengan tepat.

“Tidak semestinya lagu balada sahaja yang boleh mendapat markah tinggi. Usaha kita untuk memperbaharui lagu dan persembahan juga diambil kira dalam pemarkahan,” katanya.

Dalam pada itu, Shila berharap semua peserta yang menyertai GV musim ini dapat memberikan persembahan terbaik sepanjang pertandingan berlangsung.

“Apa-apa pun, semoga berjaya kepada abang-abang dan kakak-kakak saya yang menyertai GV tahun ini. Saya harap Tuhan mempermudahkan urusan kalian. Jaga kesihatan,” katanya.

Untuk rekod, Shila Amzah berjaya merangkul tempat ketiga dalam pertandingan Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9) pada tahun 2022 dengan kutipan markah akhir sebanyak 76.02%, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM30,000 beserta trofi.

The post GV platform terbaik hidupkan semula kerjaya penyanyi – Shila Amzah appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved