liza20/10/2026 - 09:30 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 20 Okt – Belanjawan 2027 akan memberi sokongan tambahan kepada permintaan sektor amanah pelaburan hartanah (REIT) di Malaysia menjelang tahun kewangan 2027 (FY27) khususnya melalui peningkatan bantuan isi rumah, langkah berkaitan pelancongan dan insentif pelaburan, menurut RHB Research.
Firma penyelidikan itu berkata langkah berkenaan berpotensi menyokong prestasi REIT runcit, hospitaliti, pejabat dan perindustrian, meskipun kesannya dijangka berbeza mengikut jenis aset.
RHB Research melihat Belanjawan 2027 sebagai sedikit positif kepada permintaan sektor berkenaan, dengan bantuan tunai lebih tinggi dan pelepasan cukai individu dijangka menyokong perbelanjaan isi rumah yang memberi manfaat kepada pusat beli-belah serta aset berkaitan pelancongan.
Insentif pelancongan dan pejabat sokong permintaan
Menurut RHB Research, langkah berkaitan pelancongan dijangka memberikan dorongan tambahan kepada aset runcit dan hospitaliti, manakala insentif Hab Perkhidmatan Global yang dipertingkatkan mulai Januari 2027 berpotensi menyokong permintaan terhadap ruang pejabat berkualiti tinggi.
“Ruang pejabat sedemikian lazimnya menjadi pilihan syarikat multinasional dan penyewa yang menjalankan perkhidmatan serantau. Peningkatan permintaan itu akan memberi manfaat kepada REIT yang mempunyai pendedahan kepada bangunan pejabat berkualiti tinggi,” kata RHB Research dalam nota kajiannya.
Bagi subsektor runcit dan hospitaliti, peningkatan perbelanjaan isi rumah serta aktiviti pelancongan dijangka menyokong jualan penyewa dan jumlah kunjungan ke pusat beli-belah utama. Keadaan itu seterusnya boleh membantu kenaikan kadar sewa apabila kontrak diperbaharui serta pendapatan sewa yang bergantung pada prestasi jualan penyewa.
Kerajaan turut melanjutkan kempen Tahun Melawat Malaysia hingga 2027, dengan RM935 juta diperuntukkan bagi pelancongan dan kebudayaan. RHB Research menjangkakan langkah berkenaan membantu menyokong jumlah kunjungan ke pusat beli-belah serta permintaan hotel.
JS-SEZ terus pacu sektor perindustrian
Bagi subsektor perindustrian, RHB Research berkata Kerangka Insentif Baharu (NIF) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) akan terus menyokong aktiviti pembuatan bernilai tinggi serta pelaburan dalam kelompok perindustrian utama.
“Pelancaran pelan hala tuju Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) yang dijangka pada Disember 2026 turut dilihat sebagai perkembangan positif bagi REIT perindustrian yang mempunyai pendedahan di Johor.
“Kejelasan lebih lanjut mengenai pelaburan rentas sempadan dan pelaksanaan JS-SEZ akan menyokong pengembangan operasi syarikat, sekali gus meluaskan peluang penyewaan serta pemerolehan aset perindustrian di negeri itu,” kata firma tersebut.
Bagaimanapun, RHB Research memberi perhatian kepada cadangan kenaikan gaji minimum mulai Jun 2027 yang berpotensi meningkatkan kos operasi penyewa, khususnya bagi REIT runcit.
Firma penyelidikan itu berpendapat pusat beli-belah utama yang telah lama bertapak berada pada kedudukan lebih baik untuk menyerap tekanan kos berkenaan menerusi produktiviti jualan yang lebih tinggi.
Pertumbuhan suku keempat masih bergantung pada aset
Dalam perkembangan berkaitan, RHB Research menjangkakan pertumbuhan sektor REIT pada suku keempat 2026 (4Q26) kekal berbeza mengikut aset, dengan pemerolehan dan pengisian ruang sewaan menyokong subsektor perindustrian.
Bagi REIT runcit dan hospitaliti, perbelanjaan bermusim yang lebih tinggi pada penghujung tahun serta sumbangan daripada inisiatif penambahbaikan aset dijangka menyokong pertumbuhan pendapatan. Sebaliknya, pemulihan subsektor pejabat dijangka kekal terpilih, bergantung pada lokasi dan kualiti bangunan.
RHB Research turut menjangkakan pertumbuhan pendapatan sektor bagi FY27 kembali normal apabila sumbangan daripada pemerolehan baharu menjadi sebahagian daripada asas perbandingan. Oleh itu, pertumbuhan seterusnya dijangka lebih bergantung pada produktiviti sewaan, penambahbaikan aset, pengisian ruang kosong dan pemerolehan baharu.
Konsesi cukai REIT masih belum dipulihkan
Dalam pada itu, RHB Research berkata Belanjawan 2027 tidak menangani beberapa cadangan Persatuan Pengurus REIT Malaysia, khususnya pengembalian konsesi cukai pegangan sebanyak 10%.
Menurut firma penyelidikan itu, ketiadaan langkah berkenaan terus memberi kesan kepada pulangan selepas cukai bagi sesetengah pelabur serta penilaian sektor, namun tidak mengubah asas operasi REIT.
RHB Research berpandangan sebarang pelepasan dasar pada masa hadapan boleh memberikan potensi tambahan kepada sektor berkenaan, manakala penurunan penilaian yang berlaku ketika ini telah meningkatkan hasil REIT sehingga membantu mengimbangi sebahagian besar pengurangan hasil selepas cukai.
Secara keseluruhan, RHB Research mengekalkan penarafan Overweight bagi sektor REIT Malaysia dengan Axis REIT dan Pavilion REIT sebagai pilihan utama, disokong oleh prospek pertumbuhan pendapatan serta pemangkin khusus bagi setiap syarikat. - DagangNews.com






