liza30/09/2026 - 16:22 KUALA LUMPUR 30 Sept – Peningkatan had maksimum pembiayaan perumahan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) kepada RM1 juta dijangka mengukuhkan pemilikan rumah dalam kalangan penjawat awam serta menyokong permintaan terhadap pasaran hartanah kediaman.
Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Ukur dan Pengurusan (Pengurusan Hartanah), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Maszuwita Abdul Wahab berkata langkah itu boleh mewujudkan situasi menang-menang kepada pembeli rumah dan pemaju, khususnya dengan menyokong jualan hartanah kediaman yang telah siap.
"Ini merupakan inisiatif yang baik oleh kerajaan. Ia adalah langkah positif untuk menyokong pemilikan rumah dan meningkatkan kemampuan memiliki kediaman," katanya.
Menurutnya, peningkatan kemampuan membeli dalam kalangan penjawat awam yang layak boleh membantu pemaju meningkatkan jualan serta mengurangkan jumlah unit kediaman siap yang masih belum terjual, yang terus menjadi isu dalam pasaran perumahan ketika dan selepas pandemik COVID-19.
Kuasa pembelian penjawat awam meningkat
"Penjawat awam akan mempunyai akses kepada pembiayaan yang lebih tinggi. Mereka akan mempunyai peluang untuk membeli rumah yang bersesuaian. Ini merupakan peluang yang baik," katanya.
Maszuwita berkata, penjawat awam yang layak boleh mendapatkan pembiayaan perumahan sehingga 100% melalui LPPSA, tertakluk kepada syarat ditetapkan, berbanding pinjaman bank konvensional yang lazimnya membiayai sehingga 90% daripada nilai hartanah.
Katanya, manfaat peningkatan had pembiayaan itu juga perlu dilihat dalam perspektif jangka panjang kerana pemilikan rumah bukan sahaja dapat menjadi aset kepada penjawat awam, malah berpotensi diwariskan kepada anak-anak mereka.
"Ramai mungkin mengatakan langkah ini akan membebankan penjawat awam, tetapi jika dilihat dari perspektif jangka panjang, ia akan memberi manfaat kepada mereka.
"Ia bukan hanya untuk mereka, tetapi juga boleh menjadi satu bentuk pelaburan untuk anak-anak mereka," katanya.
Perlu pantau risiko hutang isi rumah
Sementara itu, Pengarah Strategi Pelaburan dan Ahli Ekonomi Negara IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan berkata, peningkatan had pembiayaan itu boleh memberikan rangsangan bermakna dari sudut permintaan terhadap pasaran hartanah kediaman dengan mengurangkan kekangan pembiayaan, khususnya bagi segmen hartanah bernilai lebih tinggi.
Bagaimanapun, katanya, kesan langkah itu bergantung kepada sama ada tambahan pembiayaan tersebut benar-benar diterjemahkan kepada urus niaga hartanah atau sekadar meningkatkan tahap keberhutangan isi rumah.
Beliau berkata, pembiayaan yang lebih tinggi juga bermakna komitmen hutang yang lebih besar, terutama bagi peminjam yang mempunyai kedudukan kewangan kurang kukuh sekiranya ekonomi merosot.
Keadaan itu boleh berlaku sekiranya kadar faedah meningkat, pertumbuhan pendapatan menjadi lebih perlahan atau berlaku pembetulan harga hartanah.
"Oleh itu, petunjuk utama yang perlu dipantau ialah pertumbuhan pinjaman LPPSA, jumlah urus niaga, lebihan bekalan hartanah, nisbah khidmat hutang isi rumah dan pendapatan pemaju," katanya.
Pelaksanaan seawal suku keempat 2026
Mohd Sedek berkata, petunjuk berkenaan akan menentukan sama ada inisiatif itu menghasilkan aktiviti sektor sebenar yang mampan atau sekadar mempercepatkan permintaan terhadap perumahan yang sepatutnya berlaku pada masa akan datang.
Di bawah inisiatif Belanjawan 2026, kelayakan maksimum pembiayaan LPPSA akan dinaikkan kepada RM1 juta, dengan pelaksanaan dijadualkan seawal suku keempat 2026, tertakluk kepada kesiapsiagaan sistem.
Langkah itu bertujuan menyelaraskan kelayakan pembiayaan bagi penjawat awam dengan pelarasan gaji serta peningkatan harga hartanah.
Secara keseluruhannya, peningkatan had pembiayaan itu dijangka memberi lebih banyak ruang kepada penjawat awam yang layak untuk memiliki rumah, di samping berpotensi menyokong jualan hartanah kediaman yang telah siap. – BERNAMA





