
KOTA KINABALU: Keputusan Kerajaan Negeri mengekalkan had umur belia sehingga 40 tahun disifatkan sebagai langkah tepat berikutan mengambil kira realiti sosioekonomi serta keperluan pembangunan golongan berkenaan di wilayah ini.
Timbalan Pengerusi Majlis Belia Pantai Barat Utara Datu Muhammad Farid Datu Liman berkata keputusan yang diumumkan Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah Datuk Nizam Abu Bakar Titingan itu memberikan ruang lebih luas kepada golongan belia untuk terus menyertai program pembangunan, peningkatan kemahiran dan peluang ekonomi.
“Sabah mempunyai cabaran geografi dan sosioekonomi tersendiri terutamanya di kawasan luar bandar dan pedalaman yang memerlukan tempoh serta sokongan lebih panjang bagi mendapatkan pendidikan, pekerjaan dan kestabilan ekonomi.
“Golongan berusia 31 hingga 40 tahun masih mempunyai pengalaman, kematangan, jaringan sosial serta keupayaan yang boleh dimanfaatkan untuk pembangunan masyarakat termasuk sebagai usahawan, mentor dan pemimpin komuniti.
“Justeru, pembangunan belia sewajarnya mengambil kira sumbangan serta potensi mereka dan bukan semata-mata berdasarkan faktor usia,” katanya dalam kenyataan baru-baru ini.
Terdahulu Nizam semasa berucap merasmikan Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) Ke-35 Peringkat Negeri Sabah mengumumkan keputusan Kabinet untuk mengekalkan had umur belia di Sabah sehingga 40 tahun.
Mengulas lanjut Farid berkata pembangunan belia perlu dihubungkan secara langsung dengan peluang ekonomin dan pada masa sama golongan itu juga tidak seharusnya hanya menjadi peserta program atau penerima sijil latihan saja.
Jelasnya belia sebaliknya perlu diberikan akses kepada ilmu, bimbingan, kemudahan, pembiayaan dan pasaran bagi membolehkan mereka membangunkan perniagaan serta menjana pendapatan sendiri.
Beliau turut berharap pelaksanaan dasar pembangunan belia diperluaskan ke kawasan luar bandar dan daerah seperti Kota Marudu, Kudat, Pitas serta kawasan sekitarnya selain memperkukuh sokongan kepada persatuan belia di peringkat akar umbi.
Dalam pada itu Farid turut mencadangkan supaya pengekalan had umur berkenaan diberikan kejelasan dari sudut dasar dan perundangan negeri, termasuk penyelarasan dengan kerangka undang-undang Persekutuan bagi memastikan pelaksanaannya lebih teratur.
‘Program pembangunan juga perlu disesuaikan mengikut kelompok umur dan keperluan belia selain memperluaskan peluang keusahawanan digital serta agropreneur khususnya kepada golongan di kawasan luar bandar.
“Selain itu Majlis Belia dan persatuan belia di peringkat wilayah serta daerah juga perlu diperkukuh sebagai rakan strategik kerajaan selain diberikan ruang lebih besar dalam proses membuat keputusan berkaitan pembangunan belia,” ujarnya.






