Hadi dakwa salah laku berskala besar di syarikat GLC disembunyi `bawah karpet’

LocalPolitics
20 Aug 2026 • 3:36 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Hadi dakwa salah laku berskala besar di syarikat GLC disembunyi `bawah karpet’

PETALING JAYA: Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa, salah laku di syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan institusi lain berlaku pada skala lebih besar berbanding Tabung Haji (TH), namun ia ‘disembunyikan di bawah karpet’.

Beliau mendakwa, penyelewengan tersebut  tidak mendapat perhatian sama sebagaimana isu melibatkan Lembaga Tabung Haji (TH) seperti pendedahan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) sebelum ini.

Katanya, isu yang dikaitkan dengan penyelewengan dalam TH sering diberi perhatian kerana institusi tersebut membawa jenama Islam.

Maka, kesalahan Tabung Haji dijadikan tajuk utama kerana jenama Islamnya menjadi sasaran. 

“Mereka yang berjasa menjayakan Tabung Haji adalah lebih ramai berlipat kali ganda jumlahnya, namun dibesarkan segelintir yang salah laku bagi membesarkan keaiban Melayu Islam dengan niat yang jahat,” katanya menerusi Minda Presiden Pas bertajuk Isu Rasuah: Hukum Islam Ditinggalkan, Melayu Islam Dijadikan Sasaran.

Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH) didedahkan  pada 29 Julai lalu, empat tahun selepas siasatan terhadap pengurusan, operasi dan aset institusi berkenaan bagi tempoh 2014 hingga 2020.

Antara dapatan utama RCI ialah TH dilaporkan mencatat keuntungan RM3.4 bilion pada 2017, sedangkan institusi itu sepatutnya merekodkan kerugian bersih RM1.4 bilion berdasarkan piawaian perakaunan yang betul.

RCI turut membangkitkan isu berkaitan ‘perakaunan kreatif’, kerugian pelaburan yang tidak direkodkan serta pembayaran hibah yang didakwa tidak mampan.

Susulan laporan berkenaan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menubuhkan pasukan khas bagi meneliti kemungkinan berlaku rasuah, penyelewengan, pemalsuan dokumen, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula membuka lima kertas siasatan, manakala audit forensik dijalankan terhadap pelaburan yang dikenal pasti RCI.

Pada 11 Ogos lalu, Dewan Rakyat turut mengadakan sidang khas bagi membincangkan laporan RCI berkenaan.

Dalam pada itu , Abdul Hadi turut membandingkan tumpuan yang diberikan  terhadap RCI TH dengan kes melibatkan projek terowong dasar laut Pulau Pinang membabitkan bekas Ketua Menterinya, Lim Guan Eng.

“Adapun kes terowong Pulau Pinang, bicaranya separuh jalan, kemudian diam membisu, malah jarang sekali dibunyikan apabila ada suara menyebutnya,” katanya.

Sementara itu, Abdul hadi turut mendakwa semua kerajaan negeri yang dikuasai Pas, khususnya Kelantan sepanjang lebih 30 tahun, bersih daripada rasuah dan salah laku.

Menurutnya, keadaan itu berlaku walaupun kerajaan negeri berkenaan berdepan tekanan berkaitan konsep federalisme serta dakwaan perjanjian antara negeri dengan Kerajaan Persekutuan tidak dihormati.

“Di samping banyak haknya dinafikan, termasuk terhadap Ahli-ahli Parlimen pembangkang,” katanya.

Beliau turut mengkritik pentadbiran Pakatan Harapan (PH) dengan mendakwa dalam tempoh sepenggal sahaja sudah kedengaran pelbagai dakwaan salah laku.

“Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam sepenggal sahaja sudah kedengaran suara salah laku yang dinyanyikan.

“Maka, pengisytiharan perangnya terhadap rasuah hanya gendang kosong yang kuat bunyinya sahaja, termasuk tempikan adanya sakau yang hanya seperti makhluk ghaib yang disebut namanya, namun tidak kelihatan makhluknya,” katanya. – UTUSAN

The post Hadi dakwa salah laku berskala besar di syarikat GLC disembunyi `bawah karpet’ appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved