
KUALA LUMPUR: Pejabat Perdana Menteri (PMO) telah memberi maklumat tambahan kepada Bahagian Perolehan Kerajaan (BKP) Kementerian Kewangan untuk menilai semula salah sebuah syarikat kontraktor bawah Program Jana Wibawa, KCJ Engineering Sdn. Bhd.
Maklumat itu diberikan selepas syarikat tersebut telah gagal dalam penilaian teknikal pada peringkat awal program berkenaan bagi projek membina jalan baharu menyambungkan Felda Bukit Jalor Ke Gemas, Negeri Sembilan.
Setiausaha BKP, Datin Rosni Mohd. Yusoff yang ketika itu memegang jawatan Setiausaha Bahagian Syarikat Pelaburan Kerajaan berkata, surat yang mempunyai maklumat tambahan kontraktor pelaksana bagi projek itu ditandatangani Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri ketika itu, Datuk Dr. Marzuki Mohamad.
Menurutnya, sekiranya tiada surat itu, jawatankuasa itu tidak akan mengambil sebarang tindakan lanjut selepas syarikat itu gagal dalam penilaian keupayaan teknikal kerana mempunyai projek sakit dan prestasi kerja semasa yang tidak memuaskan.
“Jika Bahagian Perolehan tidak mendapat arahan daripada Pejabat Menteri Kewangan, kami tidak akan melakukan apa-apa tindakan.
“Setelah penilaian dibuat syarikat gagal, kami akan berhenti dekat situ,” kata saksi pendakwaan ke-25 itu ketika memberi keterangan dalam perbicaraan kes yang dihadapi bekas Perdana Menteri yang juga Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkaitan dengan program Jana Wibawa di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.
Terdahulu, Rosni yang ketika itu Pengerusi Jawatankuasa Penilaian Kontraktor bagi Program Jana Wibawa memaklumkan bahawa syarikat itu pada mulanya lulus penilaian peringkat pertama dan kedua, namun gagal pada peringkat ketiga pada 15 Disember 2020.
“Penilaian peringkat pertama ialah syarat mandatori, penilaian peringkat kedua pula, keupayaan kewangan dan ketiga ialah keupayaan teknikal,” katanya.
Jelasnya, penilaian itu dibuat oleh pegawai BKP berdasarkan terma rujukan (TOR) Jana Wibawa sebelum dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Penilaian Kontraktor Program Jana Wibawa.
Rosni berkata, keputusan penilaian itu direkodkan dalam minit mesyuarat jawatankuasa dan tidak diedarkan kepada mana-mana pihak dan hanya dikongsi kepada Pejabat Menteri Kewangan.
“Minit mesyuarat ini kami tidak akan edarkan kepada mana-mana. Ini sebagai rekod. Namun, kami akan kongsi info (maklumat) yang ada dalam minit ini kepada Pejabat Menteri Kewangan,” katanya.
Pada Julai lalu, Pengurus Kewangan KCJ Engineering, Zuriedah Deres @ Musa memberitahu, beliau telah diarahkan pengarah urusan syarikat itu, Datuk Azman Yusoff untuk menyediakan empat keping cek berjumlah RM800,000 kepada Bersatu.
Saksi pendakwaan ke-19 itu berkata, beliau dimaklumkan bahawa cek-cek berkenaan adalah sumbangan berkaitan Projek Jana Wibawa yang telah dianugerahkan kepada KCJ Engineering.
Selain menghadapi empat pertuduhan membabitkan menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM225.3 juta bagi parti itu daripada empat syarikat, Ahli Parlimen Pagoh itu turut berdepan tiga pertuduhan menerima hasil berjumlah RM200 juta daripada aktiviti haram yang dimasukkan ke dalam akaun parti Bersatu.
Perbicaraan bersambung esok. – UTUSAN
The post PMO beri maklumat tambahan sokong penilaian KCJ Engineering -Saksi appeared first on Utusan Malaysia.





