![Hadiah Paling Bermakna! Anak Tukang Sapu Datang Dengan Uniform Kerja Buat Kejutan Sempena Hari Lahir Ibu [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/07/Anak-tukang-sapu-buat-kejutan-sempena-hari-lahir-ibu.jpg)
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Baru-baru ini, tular di media sosial video seorang tukang sapu dikenali sebagai M Kavita mendapat kejutan istimewa dari anak-anak perempuannya sempena hari ulang tahun kelahiran yang ke-50.
Apa yang menjadi perhatian adalah keempat-empat mereka mengenakan pakaian uniform mengikut pekerjaan masing-masing seperti pramugari, juruterbang, guru serta jururawat dan membuat kejutan tersebut ketika Kavita sedang menjalankan tugas.
Ibu Simpan Hasrat Lihat Anak Datang Pakai Uniform Ketika Bekerja
Berkongsi momen menyentuh hati itu, anak kepada wanita berkenaan yang dikenali sebagai L Bharathi mendedahkan, idea membuat kejutan tersebut dicetuskan oleh adik ketiganya, Santhia sewaktu mereka berbincang mengenai hadiah ulang tahun kelahiran ibu mereka yang dipanggil sebagai Amma.
“Saya bersama adik-beradik lain (Hema, Santhia, Yumal Raj dan Priya Darsni) sedar tiada hadiah yang mampu membalas segala pengorbanan Amma.
“Jadi kami mahu memberikan sesuatu yang nilainya bukan pada harga, tetapi pada kegembiraan yang boleh dirasainya.
“Kemudian, kami teringat Amma pernah berkongsi impian melihat adik bongsu datang mengejutkannya ketika bekerja dengan memakai uniform juruterbang. Syukur, impian kecil itu akhirnya dapat direalisasikan pada hari lahirnya yang ke-50,” katanya yang dipetik dari Harian Metro.
Anak Buat Persiapan Selama Sebulan
Jelas Bharathi yang merupakan seorang jururawat, kejutan tersebut telah dirancang selama sebulan dengan setiap daripada mereka mempunyai peranan masing-masing.
Ia termasuklah menyelaras jadual kerja masing-masing, mendapatkan juruvideo serta memastikan ibu tidak mengetahui perancangan mereka.
“Cabaran terbesar mencari tarikh sesuai kerana ada adik-beradik tinggal di Singapura dan Langkawi selain memastikan Amma bekerja seperti biasa pada hari kejadian,” jelasnya.
Anak Jadi Saksi Kesusahan Ibu Kerja Keras Demi Keluarga
Terang Bharati yang merupakan anak sulung daripada lima beradik, dia dan adik-beradiknya memilih hari lahir ibu mereka sebagai menghargai pengorbanan wanita itu yang sanggup bekerja keras selama lebih 12 tahun sebagai tukang sapu.
Pengorbanan itu dibuat demi membantu bapa mereka yang bekerja sebagai tukang cat dan memastikan anak mendapat pendidikan serta kehidupan lebih baik.
“Sejak kecil, kami menyaksikan sendiri kesusahan Amma yang sanggup bekerja di bawah panas terik dan hujan demi menyara keluarga tanpa pernah mengeluh.
“Pengorbanan Amma itu menjadi sumber inspirasi kepada kami untuk belajar bersungguh-sungguh, bekerja keras dan mengubah kehidupan keluarga,” jelasnya.
Ibu Seorang Yang Berdikari, Pilih Untuk Bekerja & Enggan Susahkan Anak
Kongsi Bharathi, ibunya masih memilih untuk bekerja kerana enggan bergantung kepada anak-anak untuk meneruskan kehidupan.
“Amma memang seorang yang sangat berdikari dan sudah terbiasa bekerja, selagi masih sihat dan mampu, dia akan terus bekerja kerana enggan membebankan anak-anak,” katanya.
“Saya bersyukur kerana segala penat lelah dan pengorbanan sepanjang membesarkan anak-anak terubat pada hari berkenaan. Bagi saya, ia adalah antara kenangan paling berharga dalam hidup,” jelasnya.
Sebelum ini, video Kavita yang sedang ditemu bual oleh seseorang ketika sedang bekerja di Seremban, Negeri Sembilan menjadi perhatian ramai apabila dia dilihat langsung tidak menyedari kehadiran anak-anak yang lengkap berpakaian seragam kerja semata-mata untuk membuat kejutan.
Bukan itu sahaja, usaha anak-anak Kavita yang memberi kejutan turut mendapat pujian ramai kerana menghargai penat lelah si ibu dalam mendidik serta membesarkan mereka hingga berjaya.
View on Threads
Baca Artikel Berkaitan: Kancil Selalu Rosak & Berhenti Tengah Jalan, Anak Buat Kejutan Beli Kereta Baharu Untuk Ibu Bapa [Video]
Baca Artikel Berkaitan: Gelagat Anak Kelam-kabut Ketika Buat Kejutan Untuk Birthday Ayah Buat Ramai Terhibur [Video]




