“Saya Terus Sedih…” — Hadiah Hari Guru Daripada Pelajar Rumah Amal Ini Buat Cikgu Sebak

LocalLifestyle
20 May 2026 • 2:56 PM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

Image from: “Saya Terus Sedih…” — Hadiah Hari Guru Daripada Pelajar Rumah Amal Ini Buat Cikgu Sebak

SUBANG — Pemberian hadiah sempena Hari Guru bukan sekadar tradisi tahunan, tetapi menjadi simbol penghargaan buat insan yang tidak pernah jemu mendidik dan membentuk masa depan anak-anak.

Namun bagi seorang guru di sebuah sekolah di Subang, hadiah yang diterima tahun ini bukan sekadar menyentuh hati… malah menjadi momen yang sukar dilupakan sepanjang bergelar pendidik.

Memetik laporan Sinar Harian, guru berkenaan, Nurul Hafizah Mohamad Ramli, 34, berkongsi rasa sebaknya selepas menerima sekotak hadiah daripada seorang pelajar perempuan Tingkatan Dua yang juga penghuni rumah amal.

Menurutnya, pelajar itu tinggal bersama adiknya selepas kedua-dua ibu bapanya berada di penjara dan kehidupannya jauh berbeza daripada kebanyakan pelajar lain.

Lebih menyentuh hati, hadiah yang diterima dipercayai terdiri daripada makanan dan barangan yang dikumpulkan daripada sumbangan perayaan.

“Masa buka hadiah itu saya terus sedih sebab tahu kotak itu dikitar semula.

“Dalamnya pula barangan jenama Petronas, mungkin daripada hamper raya. Saya terus terfikir dari mana dia dapat duit sebab saya tahu dia bukan orang senang,” katanya.

Bukan Nilai Hadiah Yang Buat Sebak, Tetapi Pengorbanan Seorang Anak

Nurul Hafizah berkata, pelajar tersebut seorang yang pendiam dan mempunyai tahap keyakinan diri yang rendah. Malah, dia juga perlu memikirkan keadaan keluarga serta menjaga adiknya sehingga memberi kesan kepada pelajaran.

Katanya, sebagai guru, dia sering menegur dan mengingatkan pelajar itu supaya tidak mengabaikan tugasan sekolah kerana mahu melihat masa depannya berubah.

Namun dia tidak menyangka pelajar berkenaan tetap berusaha menyediakan hadiah sempena Hari Guru walaupun hidup dalam serba kekurangan.

“Saya selalu pesan kalau nak bagi hadiah, buat kad pun cukup. Tak perlu beli mahal-mahal sebab saya tahu ramai pelajar nak juga bagi hadiah macam kawan-kawan lain,” ujarnya.

Kisah yang sebelum ini tular di media sosial itu turut mengundang rasa sebak orang ramai yang menyifatkan hadiah tersebut bukan tentang nilai, tetapi keikhlasan seorang anak murid dan kasih seorang guru yang melihat lebih daripada sekadar pencapaian di dalam kelas. – The Malaysian Update

The post “Saya Terus Sedih…” — Hadiah Hari Guru Daripada Pelajar Rumah Amal Ini Buat Cikgu Sebak appeared first on The Malaysian Update.

View Original Article