Hadkan harga untuk warga asing, bantu rakyat beli rumah

21 Jan 2026 • 9:00 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

SHAH ALAM, 21 JAN - Dasar pembelian hartanah oleh warga asing di Selangor perlu diubah termasuk meningkatkan had harga pemilikan sehingga lebih RM1 juta bagi membantu penduduk tempatan memiliki kediaman sendiri.

Pengarah Program Sarjana Pentadbiran Perniagaan Putra Business School berkata langkah itu juga antara usaha bagi mengawal penjualan aset berstatus rumah mampu milik atau bernilai RM300,000 dan ke atas kepada golongan berkenaan.

Menurut Prof Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, Kerajaan Negeri juga boleh menetapkan syarat wajib kepada pemaju, untuk menyediakan jumlah khusus rumah mampu milik pada setiap projek dibangunkan.

“Dengan cara ini, ramai penduduk terutamanya anak Selangor mampu membeli unit rumah sendiri. Walaupun pemaju bangunkan projek besar, kena wajibkan mereka sediakan beberapa unit atau lot pada harga mampu milik.

“Pada masa sama, boleh juga kenakan cukai tinggi kepada pemaju yang membiarkan tanah mereka tidak dibangunkan, tidak jalankan pembinaan rumah. Kita tidak mahu tanah itu disimpan, kosong. Kalau tak nak bangunkan boleh jual atau kenakan bayaran cukai yang tinggi,” katanya kepada Media Selangor.

Berdasarkan jawapan bertulis EXCO Perumahan Datuk Borhan Aman Shah di Dewan Negeri Selangor pada 2016, kuota jualan bagi pemilikan hartanah oleh warga asing tidak melebihi 10 peratus daripada unit Bukan Bumiputera. Kuota Bumiputera pula tidak boleh dijual kepada warga asing.

image is not available
Kuota pemilikan hartanah warga asing. Grafik HAZREENA EFFENDI

Paras harga minimum RM2 juta bagi hartanah di Zon 1 (Daerah Petaling, Gombak, Hulu Langat, Sepang dan Klang) dan Zon 2 (Kuala Selangor dan Kuala Langat) serta RM1 juta di Zon 3 (Hulu Selangor dan Sabak Bernam). Jenis hartanah terhad kepada strata termasuk ‘landed strata’ sahaja.

Mengulas lanjut, Ahmed Razman berkata Kerajaan Negeri juga boleh menjalin kerjasama dengan pihak swasta atau agensi persekutuan seperti Syarikat Perumahan Negara Berhad untuk membina lebih banyak rumah mampu milik.

Selain itu, tanah wakaf juga boleh dibangunkan sebagai kawasan perumahan seperti yang dilakukan Majlis Agama Islam Pulau Pinang menerusi pajakan selama 99 tahun.

“Jadi tanah itu kekal berstatus wakaf, namun masih boleh dibangunkan rumah kategori pangsapuri dan dijual kepada rakyat,” katanya.

Isu harga kediaman yang tinggi hingga membebankan penduduk kota membeli rumah dibangkitkan sejak belasan tahun lalu malah beberapa pihak terutama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut mengadakan bantahan kepada kerajaan bagi menuntut penyelesaian.

Di Selangor, hampir semua pemaju di kawasan bandar antaranya Shah Alam, Subang, Klang, Petaling Jaya dan Gombak pada umunya menjual rumah pada harga tinggi hingga membebankan warga kota khususnya berpendapatan rendah serta menengah.