Hai rakyat Melaka, kekal atau tukar?

LocalPolitics
29 Oct 2026 • 8:00 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Hai rakyat Melaka, kekal atau tukar?

Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka makin hampir. Semua parti politik yang ingin bertanding sudah menamakan calon masing-masing minggu lalu.

Kempen selama 14 hari bermula Sabtu ini sudah pasti berkisar mengenai kelayakan, kebolehan, janji, manifesto dan macam-macam lagi yang biasa kita dengar sebaik tiba musim mengundi.

Lazimnya, calon parti politik akan mengangkat diri masing-masing di depan pengundi menjanjikan apa yang akan diperjuangkan untuk penduduk di kawasan yang ditandingi ketika berkempen.

Amat jarang atau tidak pernah kita mendengar mereka memuji atau menceritakan mengenai kelebihan pihak lawan. Kalau ia berlaku maka orang akan menganggap calon itu sebagai gila.

Apa yang biasa kita dengar ialah terdapat segelintir pihak suka memburukkan pihak lawan dan mengatakan macam-macam perkara mengenai salah laku mereka. Ada saja yang tidak kena.

Selain itu, janji pembangunan dan kemajuan ekonomi penduduk setempat sering dijaja di atas pentas politik. Keyakinan seseorang calon itu memimpin perlu ditonjolkan bagi memenangi hati pengundi.

Selalunya yang bersikap sebegini dilabel sebagai panglima atau pemintas psikologi. Tugas mereka ialah mempengaruhi pengundi supaya tidak lagi memangkah orang lain selain dirinya atau calon yang dikempenkan.

Keadaan itu berlaku hampir di seluruh negara yang mengamalkan pemerintahan demokrasi di dunia ini. Mungkin ia kekal digunakan kerana dengan cara itu, kemenangan dan kuasa dapat dikekalkan untuk penggal seterusnya.

Kaedah psikologi songsang mungkin tidak sesuai sebagai senjata kempen, namun tidak salah untuk mencubanya. Minda manusia itu suka kepada pembaharuan dan perkara yang lain daripada kebiasaan.

Keperibadian calon terutamanya yang datang daripada gabungan parti baharu menjadi sandaran dan faktor utama memenangi hati pengundi.

Tiada yang mustahil dalam politik kerana kerajaan yang sudah lama memerintah pun boleh tumbang sekiranya rakyat nekad membuat pilihan dan mahukan pembaharuan.

Jangan kita lupa kepada peristiwa tsunami politik pada 9 Mei 2018 apabila Barisan Nasional yang sudah memerintah negara selama 61 tahun tumbang kerana gelombang rakyat yang memuncak kepada sikap salah laku.

Seperti juga di Melaka, kerajaan boleh bertukar tangan sekiranya rakyat mahu. Mereka itu ibarat bos kepada ahli politik ketika berkempen.

Selepas Johor dan Negeri Sembilan, kini tiba giliran 687,697 pengundi berdaftar PRN Melaka memilih wakil rakyat untuk membentuk kerajaan negeri pada 14 November ini. Ia akan diikuti Sarawak selepas Dewan Undangan Negerinya dibubarkan pada Isnin lalu.

Berkempenlah dengan penuh hemah dan pilihlah calon yang boleh membawa atau mengekalkan kemajuan sedia ada.

Apa yang pasti, Pakatan Harapan masih dilanda resah apabila ramai mengatakan PRN Melaka menjadi penentu kepada keputusan Pilihan Raya Umum akan datang. Jika menang maka 2-1 tetapi jika kalah lagi, bermakna sudah 3-0.

The post Hai rakyat Melaka, kekal atau tukar? appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved