Haily terima kontrak RM198 juta daripada Connoisseur Properties bina servis apartmen 45 tingkat di Johor Bahru

29/09/2025 - 17:38
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 29 Sept - Haily Group Berhad menerusi Haily Construction Sdn Bhd menerima kontrak bernilai RM197.55 juta daripada Connoisseur Properties Sdn Bhd bagi pembinaan servis apartmen setinggi 45 tingkat di Jalan Meldrum, Johor Bahru.
Kumpulan itu berkata, kontrak itu meliputi pembinaan kediaman setinggi 34 tingkat (748 unit), satu tingkat loji servis di aras bawah, satu tingkat tempat letak kereta di aras satu, tujuh tingkat tempat letak kereta dari aras tiga hingga aras sembilan dan satu tingkat kemudahan awam di aras 10.
Projek itu turut melibatkan pembinaan lima unit kedai di aras satu, dua unit kedai di aras 10 serta satu tingkat tempat letak kereta di aras dua.
"Kontrak itu dijadualkan siap dalam tempoh 40 bulan bermula 1 Oktober 2025 hingga 31 Januari 2029," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.
Kumpulan itu berkata, mereka perlu melunaskan ganti rugi ditetapkan sebanyak RM80,000 (kerja bangunan utama) dan RM1,000 (kerja unit kedai) setiap hari sekiranya berlaku kelewatan.
Katanya, tempoh tanggungan kecacatan di bawah kontrak ini adalah 30 bulan bermula dari tarikh yang dinyatakan dalam Sijil Siap Kerja Sementara (CPC) yang dikeluarkan oleh arkitek atau 24 bulan dari tarikh yang dinyatakan dalam Sijil Siap dan Pematuhan (CCC), mengikut mana yang lebih awal.
Kontrak itu tidak akan memberi sebarang kesan ke atas modal saham terbitan serta pegangan saham pemegang saham utama memandangkan tiada terbitan saham biasa baharu dalam syarikat.
Lembaga pengarah menjangkakan kontrak itu akan menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih kumpulan epanjang tempoh kontrak.- DagangNews.com
standard
