Haji lebih selesa: 30 peratus jemaah pilih pakej swasta

6 May 2026 • 10:19 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Haji lebih selesa: 30 peratus jemaah pilih pakej swasta
Anuar Ahmad
Image from: Haji lebih selesa: 30 peratus jemaah pilih pakej swasta
Bilik operasi PJH di Makkah.

MAKKAH – [DIKEMAS KINI] Seramai 30 peratus jemaah haji Malaysia tahun ini memilih pakej swasta kendalian Pengelola Jemaah Haji (PJH), meningkat berbanding 28.3 peratus tahun lalu.

Pengarah Operasi PJH, Anuar Ahmad berkata, trend itu menunjukkan perubahan keutamaan jemaah yang kini lebih menitikberatkan keselesaan sebagai nilai tambah kepada pelaksanaan ibadah haji.

“Pemilihan bergantung kepada keperluan jemaah. Muassasah sudah menyediakan perkhidmatan yang baik, namun ada yang mahukan nilai tambah,” katanya.

Keselesaan jadi pertimbangan

Menurutnya, antara faktor yang mendorong jemaah memilih PJH termasuk penginapan dengan kapasiti lebih kecil iaitu dua atau tiga orang sebilik berbanding empat hingga lima orang di bawah Muassasah.

Selain itu, lokasi hotel yang lebih hampir dengan Masjidil Haram di Makkah dan Masjid Nabawi di Madinah turut menjadi pertimbangan, di samping kemudahan khemah lebih selesa atau kedudukan lebih dekat dengan Kompleks Jamrat ketika di Mina.

“Ada jemaah tidak kisah berjalan jauh, tetapi ada juga yang memilih jarak lebih dekat kerana faktor usia dan kesihatan,” jelasnya.

**media[3511904]**

Beliau berkata, aspek penerbangan turut menjadi pilihan apabila terdapat jemaah yang memilih perkhidmatan kelas perniagaan atau kelas pertama yang tidak ditawarkan dalam pakej Muassasah.

34 syarikat tawar pakej hingga RM250,000

Sebanyak 34 syarikat PJH berlesen, termasuk anak syarikat Tabung Haji Travel & Services (THTS), dilantik mengendalikan jemaah haji Malaysia tahun ini.

Pakej yang ditawarkan merangkumi pelbagai kategori harga, daripada bawah RM55,000 hingga mencecah RM250,000 bergantung kepada tahap perkhidmatan.

Menurut Anuar, harga bukan faktor utama dalam pemilihan jemaah, sebaliknya perkhidmatan yang ditawarkan oleh syarikat menjadi penentu.

“Pakej pada harga sama tidak semestinya menawarkan perkhidmatan serupa. Jemaah akan menilai berdasarkan apa yang disediakan,” katanya.

Tiada kuota khas

Beliau menjelaskan, pemilihan pakej PJH tidak melibatkan kuota khas kerana semua jemaah terlebih dahulu menerima tawaran sebagai jemaah Muassasah sebelum membuat pilihan.

Tegasnya, bayaran pakej yang tinggi tidak menjamin kelulusan rayuan haji.

“Semua rayuan mesti melalui sistem Tabung Haji (TH) dan tidak bergantung kepada bayaran atau pakej tertentu.

“Tanggapan bahawa pakej mahal memudahkan kelulusan rayuan adalah tidak benar sama sekali,” katanya.

Menurutnya, dakwaan kononnya terdapat syarikat tertentu yang boleh mempercepatkan atau memudahkan kelulusan juga tidak berasas.

“Semua proses termasuk rayuan perlu melalui sistem TH, bukan di bawah syarikat atau ejen,” katanya.

Waspada sindiket penipuan

Dalam pada itu, beliau berkata, keghairahan menunaikan haji serta sikap tergesa-gesa menjadi antara punca ada bakal jemaah terjebak dengan penipuan.

Katanya, sindiket menggunakan pelbagai helah termasuk promosi di media sosial, tawaran ‘jalan pintas’ serta jaminan tempat haji tanpa melalui saluran sah.

“Walaupun maklumat rasmi telah disalurkan, masih ada yang tidak membuat semakan terlebih dahulu,” ujarnya.

Pemantauan rapi, tindakan tegas

Beliau berkata, kebajikan jemaah haji tetap dipantau rapi oleh TH walaupun menggunakan perkhidmatan PJH.

Setiap syarikat diwajibkan menyediakan sekurang-kurangnya seorang guru agama yang ditauliahkan, selain tertakluk kepada pemantauan pasukan TH di Jeddah, Mekah, Madinah dan kawasan masyair.

“Kita pantau daripada ketibaan jemaah, termasuk penginapan, bimbingan dan perkhidmatan keseluruhan. Setakat ini semua syarikat mematuhi syarat ditetapkan,” katanya.

Menurutnya, jemaah juga diberi ruang membuat penilaian dan aduan, termasuk selepas pulang ke tanah air.

Tambah beliau, mana-mana syarikat yang gagal mematuhi syarat atau tidak menunaikan perkhidmatan seperti dijanjikan boleh dikenakan tindakan tegas.

“Antaranya termasuk tidak diluluskan lesen bagi musim berikutnya atau disenarai hitam,” katanya.

Elak tawaran tidak sah

Orang ramai diingatkan supaya hanya memilih syarikat PJH yang berlesen dan tersenarai dalam laman web rasmi TH.

“Semakan boleh dibuat melalui laman web, pusat panggilan atau pejabat TH.

“Pastikan setiap tawaran haji datang daripada TH sebelum membuat sebarang bayaran,” katanya.

Pemilihan pakej haji akhirnya bergantung kepada kemampuan kewangan dan keperluan individu bagi memastikan ibadah dapat dilaksanakan dengan selesa dan teratur.