
KETUA Menteri Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan rombakan Pembantu Menteri Sabah, yang menyaksikan tiga Adun mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin, di Istana Seri Kinabalu, Kota Kinabalu, pada 26 Jan.
Hajiji berkata Naib Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Ruslan Muharam yang juga Adun Lumadan dilantik sebagai Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, manakala Adun Inanam Peto Galim (PKR) dilantik sebagai Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, sementara Adun Likas Tan Lee Fatt (DAP), Pembantu Menteri Kewangan.
“Pelantikan itu juga bagi mengisi jawatan yang dikosongkan oleh Datuk James Ratib, bekas Pembantu Menteri Pertanian dan Perikanan, yang kini Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (negeri); dan Datuk Jasnih Daya yang mengosongkan jawatannya sebagai Pembantu Menteri Kewangan.
“Pelantikan dan rombakan Pembantu Menteri hari ini adalah usaha berterusan untuk menyatukan dan mengukuhkan pentadbiran kerajaan,” katanya.
Ketiga-tiga Adun itu menandatangani watikah pelantikan masing-masing dengan disaksikan Hakim Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu Datuk Ismail Brahim.
Hajiji berkata, empat Pembantu Menteri juga bertukar portfolio iaitu Datuk Seri Dr Ruddy Awah daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS), sebagai Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar; Datuk Fairuz Renddan (GRS) sebagai Pembantu Menteri Belia dan Sukan; Datuk Harun Durabi, daripada Barisan Nasional (BN), sebagai Pembantu Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi; dan Datuk Andi Suryady Bandy (BN) sebagai Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian.
“Saya ingin menekankan kepentingan untuk kerajaan negeri, di bawah kepimpinan saya, berfungsi sebagai pasukan padu yang berkongsi aspirasi sama, dibina atas dasar kepercayaan dan rasa hormat bersama.
“Kami memerlukan pasukan yang kuat untuk mendorong momentum pembangunan kami, dan untuk memenuhi janji pilihan raya kami bagi rakyat dan negeri,” katanya.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.


