Hajiji gesa usaha perkasa industri buku dipergiat

13 Nov 2026 • 4:43 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Hajiji gesa usaha perkasa industri buku dipergiat

Kota Kinabalu: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor menggesa semua pihak mempergiat usaha meneroka, mengkaji dan menerbitkan buku dalam pelbagai genre bagi memperkukuh industri buku tempatan serta memupuk budaya membaca dalam kalangan rakyat Sabah.

Beliau berkata perhatian lebih besar perlu diberikan kepada penerbitan buku berkaitan bahasa, sastera, budaya, seni, adat resam dan warisan alam semula jadi bagi memastikan khazanah ilmu, sejarah serta warisan negeri ini didokumentasikan untuk generasi akan datang.

“Semua pihak perlu menyokong usaha memperkukuh industri buku tempatan supaya penerbitan berkenaan bukan sekadar memenuhi rak perpustakaan, kedai buku atau platform digital tetapi turut menjadi pemangkin kepada pembentukan masyarakat berteraskan ilmu pengetahuan.

“Industri buku juga perlu dilihat sebagai pemangkin dalam menyemai budaya membaca dalam kalangan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Pelancaran Buku Baharu Penulis Sabah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 2025/2026 serta Anugerah Buku Terbaik Ketua Menteri Sabah 2024/2025 di Dewan Amil Jaya, DBP Cawangan Sabah pada Rabu.

Ucapan beliau dibacakan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Isnin Aliasnih.

Dalam pada itu Hajiji turut menggesa ahli akademik, penyelidik, pensyarah dan golongan profesional di Sabah supaya lebih produktif menghasilkan karya berkualiti yang boleh dijadikan bahan rujukan di peringkat antarabangsa.

Menurutnya penerbitan karya bermutu tinggi bukan sahaja dapat mendokumentasikan pemikiran intelektual dan ilmu tempatan malah membantu membina legasi pemikiran progresif Sabah.

“Terbitkan karya yang boleh dijadikan rujukan global, merakamkan gagasan besar kita serta menyumbang secara langsung kepada pembinaan legasi pemikiran progresif Sabah.

“Teruskan berkarya secara produktif, selaras dengan usaha Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) untuk mengangkat Kota Kinabalu sebagai Bandaraya Sastera,” ujarnya.

Sementara itu Hajiji berkata cabaran geografi Sabah memerlukan komitmen lebih kukuh serta kerjasama strategik lebih erat antara agensi Persekutuan dan negeri, termasuk DBP Cawangan Sabah, Perpustakaan Negeri Sabah, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, institusi pengajian tinggi dan sektor swasta.

Katanya kerjasama itu penting bagi memastikan masyarakat, khususnya kanak-kanak di kawasan pedalaman dan pulau termasuk di Semporna, tidak ketinggalan daripada memperoleh akses kepada bahan bacaan berkualiti.

Beliau berkata peluasan perkhidmatan perpustakaan bergerak dan pengukuhan jaringan digital antara langkah yang perlu diberikan perhatian bagi merapatkan jurang literasi dalam kalangan masyarakat.

Hajiji turut berkata kerajaan negeri komited memperkukuh bahasa kebangsaan dan karya sastera tempatan menerusi penggunaan teknologi pendigitalan serta kecerdasan buatan (AI).

“Industri buku Sabah perlu berkembang melangkaui penerbitan fizikal dengan memanfaatkan platform digital bagi menjangkau kelompok pembaca lebih luas.

“Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh kerjasama strategik dengan DBP dan agensi berkaitan bagi memperluas geran, platform serta peluang penyelidikan untuk penulis tempatan,” katanya.

Menurutnya usaha memperkukuh industri buku juga selaras dengan agenda Pemerkasaan Modal Insan di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 bagi tempoh 2026 hingga 2030 yang menekankan pembangunan individu berilmu pengetahuan serta mempunyai jati diri dan sahsiah yang kukuh.

Beliau berkata kepelbagaian etnik dan budaya, sejarah serta warisan alam semula jadi Sabah yang kaya menyediakan sumber berharga untuk menghasilkan penerbitan akademik dan umum.

Justeru katanya potensi itu perlu diteroka dan didokumentasikan bagi memastikan warisan serta keunikan negeri ini terus terpelihara.

Hajiji turut mengucapkan tahniah kepada penerima Anugerah Buku Terbaik Ketua Menteri Sabah serta penulis tempatan yang karya mereka dilancarkan pada majlis berkenaan.

Tambahnya golongan penulis memainkan peranan penting dalam membentuk masyarakat berteraskan ilmu pengetahuan dan menjadi pemangkin kepada perkembangan industri buku negara.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved