KPK perkasa industri hiliran agrikomoditi, fokus produk bernilai tinggi

LocalBusiness & Finance
26 Oct 2026 • 2:10 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: KPK perkasa industri hiliran agrikomoditi, fokus produk bernilai tinggi

KUALA LUMPUR – Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) mempergiat usaha memperkukuh industri hiliran sektor agrikomoditi negara menerusi penghasilan produk bernilai tambah tinggi serta peluasan akses pasaran antarabangsa.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Huang Tiong Sii berkata, usaha itu dilaksanakan menerusi Dasar Agrikomoditi Negara 2021–2030 (DAKN2030), khususnya Teras Penjanaan Nilai dan Pembangunan Pasaran.

Beliau berkata, strategi berkenaan memberi tumpuan kepada pembangunan aplikasi baharu, kepelbagaian produk serta peningkatan kompleksiti produk bagi meningkatkan daya saing industri tempatan.

“Strategi ini turut disokong Teras Produktiviti yang menekankan pengukuhan aktiviti penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi (R&D&C&I) serta penerapan teknologi,” katanya ketika sesi soal jawab menteri di Dewan Rakyat.

Menurut beliau, antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk menggalakkan penghasilan produk berasaskan sawit seperti oleokimia, serat, bahan biokomposit dan bahan biokimia.

Katanya, kementerian turut menyediakan sokongan pembiayaan bagi inovasi dan pengkomersialan produk getah asli termaju serta Teknologi Galas Getah Seismik Beredaman Tinggi bagi melindungi struktur daripada kesan gegaran gempa bumi.

“Bagi sektor kayu, Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) melaksanakan transformasi industri perabot daripada pengilangan berasaskan tempahan (OEM) kepada pengilangan reka bentuk asal (ODM) dan pengilangan jenama asal (OBM),” katanya.

Dalam sektor koko, usaha turut ditumpukan kepada peningkatan pengeluaran biji koko tempatan yang premium dan berkualiti serta peluasan sistem kebolehkesanan bagi memenuhi piawaian kemampanan antarabangsa.

Beliau berkata, kementerian juga memperkukuh insentif pelaburan dalam aktiviti pemprosesan hiliran industri koko, khususnya bagi produk makanan, kesihatan dan kosmetik.

Selain itu, penyelidikan dan pembangunan produk bernilai tambah tinggi termasuk nutraseutikal, kosmeseutikal serta produk penjagaan diri turut dipergiatkan.

Katanya, geran dan insentif juga disediakan bagi memperluas pasaran produk kenaf melalui Program Peningkatan Daya Saing dan Pemantapan Keusahawanan Produk Kenaf.

“Kerajaan turut meningkatkan kadar adunan biobahan api berasaskan sawit dalam diesel untuk kegunaan domestik serta membangunkan industri biobahan api generasi kedua berasaskan sisa, termasuk bahan api penerbangan mampan (SAF),” katanya.

Dalam pada itu, kementerian menggalakkan penyertaan pekebun kecil dalam penghasilan produk bernilai tambah bagi membuka peluang ekonomi baharu dan meningkatkan potensi pendapatan mereka.-KOSMO! ONLINE

The post KPK perkasa industri hiliran agrikomoditi, fokus produk bernilai tinggi appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved