
KUNAK: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata pembukaan Loji Pengekstrakan Phytonutrien Kunak Lipids Sdn Bhd di sini akan meletakkan Sabah secara strategik untuk memenuhi keperluan pasaran oleokimia antarabangsa, selain mewujudkan peluang pekerjaan dan merangsang pembangunan ekonomi tempatan.
Beliau berkata loji terbabit adalah bukti komitmen Kumpulan Sawit Kinabalu untuk mengembangkan dan mempelbagaikan operasi mereka melebihi pengeluaran komoditi mentah.
“Langkah ini selaras dengan aspirasi Kerajaan Negeri bagi memperkukuhkan rantaian nilai industri kelapa sawit serta memastikan Sabah terus menjadi peneraju dalam sektor hiliran bernilai tinggi,” katanya pada majlis perasmian loji berkenaan di sini, dengan ucapannya disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya Datuk Shahelmey Yahya.
Sebagai Pengerusi Kumpulan Sawit Kinabalu, Hajiji berbangga dengan inisiatif Kumpulan menghasilkan tokoferol tempatan di bawah jenama Sawit Kinabalu Tocotrienols (SKT3), yang akan dipasarkan tidak lama lagi.
“Ini membuktikan bahawa Sabah sedang berinovasi dalam memanfaatkan kekayaan kelapa sawit ke arah produk berteknologi tinggi,” katanya.
Beliau berkata Malaysia telah lama mengimport berjuta-juta kilogram Vitamin E setiap tahun.
“Dengan tocotrienol kini dihasilkan secara tempatan, kita bukan sahaja mengurangkan kebergantungan import tetapi juga membuka peluang baharu dalam pasaran nutraseutikal di samping meningkatkan kesihatan rakyat Malaysia,” tambahnya.
Ketua Menteri berkata Kerajaan Negeri akan terus menyokong pelaburan yang membangunkan industri hiliran kelapa sawit secara lestari dan inovatif.
“Loji ini akan menjadi pemangkin utama kepada hasil negeri, menyediakan peluang pekerjaan berkemahiran kepada rakyat, serta mengukuhkan kedudukan Sabah sebagai hab hiliran kelapa sawit di rantau ini,” katanya.

