Hak asasi, kebebasan perlu diiringi tanggungjawab bagi menjamin keamanan negara - PM Anwar

LocalPolitics
9 Sep 2024 • 6:35 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Harus ada kefahaman dan kecelikan dalam kalangan rakyat bahawa hak asasi dan kebebasan harus diiringi dengan tanggungjawab bagi menjamin keamanan negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, kebebasan jika tidak dikawal dengan undang-undang akan menjadikan negara porak-peranda, terutamanya apabila menyentuh isu berkaitan dengan keganasan atau menimbulkan ketegangan kaum.

"Apa pun alasan, dan kalau pun saya diserang oleh media antarabangsa, saya tidak akan tolak ansur untuk menjamin keselamatan rakyat dan negara ini," katanya semasa berucap pada sambutan Hari Suhakam ke-25, di sini pada Isnin.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain dan Pengerusi Suhakam Datuk Seri Mohd Hishamudin Md Yunus.

Anwar berkata, rakyat harus faham bahawa tindakan harus diambil jika terdapat pihak yang mempertikai isu seperti yang berkaitan dengan 3R (kaum, agama, raja) yang boleh menggugat keamanan dan kestabilan negara.