Hakim Danish Hadapi Realiti Pahit di Misano, Fokus ke Catalunya

FootballSports
23 Sep 2025 • 10:56 AM MYT
TW Media
TW Media

Gedung Info Permotoran

image is not available

Pusingan kelima FIM JuniorGP di Litar Motor Valley Romagna, Misano, menyaksikan minggu yang penuh cabaran buat pelumba muda negara, Hakim Danish bersama pasukan SIC Racing MSI. Walaupun sempat memberi isyarat positif pada sesi ujian awal minggu, perjalanan sebenar di hujung minggu membuktikan betapa sengitnya saingan peringkat pembangunan dunia.

Insiden high-side pada sesi latihan Khamis jelas menjadi titik tolak yang merencatkan momentum Danish. Walaupun tidak mengalami kecederaan serius, situasi itu menjejaskan keyakinan serta pelarasan jentera yang sepatutnya menjadi kunci utama menghadapi sesi kompetitif. Masalah teknikal yang muncul pada sesi Free Practice 1 dan 2 menambahkan lagi tekanan, sekaligus membatasi ruang untuk mencari konsistensi.

Dalam konteks prestasi, kedudukan P13 di Practice dan P17 ketika Qualifying 2 bukanlah gambaran mutlak kemampuan sebenar Danish. Sebaliknya, ia mendedahkan isu fundamental, iaitu cabaran mencari set-up optimum bagi menyaingi ‘race pace’ kelompok hadapan. Situasi ini menampakkan jurang jelas antara pelumba baharu dengan barisan pesaing yang sudah lebih matang dan berpengalaman di litar Eropah.

Perlumbaan di Misano akhirnya sekadar medan bertahan. Walaupun terdapat peningkatan dalam Race 2, usaha tersebut masih belum mencukupi untuk mencabar kelompok utama. Dari sudut pembangunan karier, minggu ini memberi mesej tegas: JuniorGP bukan hanya soal kelajuan, tetapi soal konsistensi, adaptasi teknikal, dan ketahanan mental menghadapi tekanan.

Fokus kini beralih ke Circuit de Catalunya pada 1–2 November, sebuah litar yang lebih dikenali Danish hasil pengalaman musim lalu. Misano mungkin menjadi episod sukar, tetapi ia juga memberi ruang pembelajaran berharga. Apa yang penting, keupayaan pasukan SIC Racing MSI dan Danish untuk bangkit daripada minggu getir ini bakal menentukan sejauh mana projek pembangunan pelumba Malaysia di pentas Eropah mampu bertahan dan berkembang.