Sprint Menang, Podium Utama: Hujung Minggu Cemerlang Marco Bezzecchi Di Misano

FootballSports
15 Sep 2025 • 12:00 AM MYT
TW Media
TW Media

Gedung Info Permotoran

image is not available


MISANO, 14 September 2025 – Aprilia Racing menutup hujung minggu di Misano World Circuit Marco Simoncelli dengan keputusan positif apabila Marco Bezzecchi menamatkan perlumbaan utama di tempat kedua, menambah koleksi podium kesembilan musim ini.

Pelumba Itali itu bermula cemerlang dengan mendahului ke selekoh pertama dan mempertahankan posisi hadapan dengan penuh keyakinan. Walaupun kehilangan kedudukan pertamanya di pertengahan perlumbaan, Bezzecchi kekal bersaing rapat sehingga garisan penamat dan hanya ketinggalan 0.568s di belakang pemenang. Podium kali ini melengkapkan hujung minggu gemilang selepas kejayaan beliau menjuarai Sprint pada hari Sabtu serta kemenangan utama di Silverstone sebelum ini.

Bagi Jorge Martín pula, hari Ahad lebih mencabar. Jentera beliau terhenti ketika formation lap, memaksanya kembali ke pit untuk menukar motosikal. Situasi itu menyebabkan beliau dikenakan dua penalti long lap, sekali gus menolak kedudukannya ke belakang. Walaupun begitu, Martín tetap menunjukkan ketabahan dengan memanfaatkan perlumbaan sebagai ruang untuk mengutip pengalaman dan mengenal pasti ruang penambahbaikan.


Reaksi Pasukan & Pelumba

Marco Bezzecchi

image is not available
Foto: Aprilia Racing

“Ia satu pengalaman menakjubkan. Saya gembira kerana sudah berikan segalanya. Memang ada sedikit kecewa kerana saya mahu menang dengan sepenuh hati, tetapi pace kami luar biasa. Dapat mengekalkan kelajuan hingga ke akhir perlumbaan adalah sesuatu yang istimewa.”

Jorge Martín

“Di selekoh 13, motosikal mula mati. Saya cuba hidupkan semula tetapi tidak berjaya, jadi saya berlari kembali ke pit. Malangnya, pit sudah ditutup, dan saya terpaksa bermula dengan dua penalti long lap. Situasi ini memang sukar, tetapi saya cuba kendalikannya dengan matang dan fokus kepada pengalaman serta pembelajaran untuk masa depan.”

Massimo Rivola – CEO Aprilia Racing

“Ia hampir satu hujung minggu yang sempurna, hasil kerja cemerlang Marco. Kami tidak pernah raih keputusan baik di Misano, jadi mendapatkan pole pada hari Sabtu amat istimewa, apatah lagi dengan kemenangan Sprint di hadapan penyokongnya. Sasaran kami ialah menang perlumbaan penuh, tetapi kami akan terus bekerja untuk mencabar Marc Márquez menjelang penutup musim. Bagi Jorge, agak malang apa yang berlaku di formation lap, tetapi dia semakin serasi dengan jentera. Ujian hari Isnin akan jadi penting bagi membantu persiapan menuju pusingan di luar Eropah.