KOTA BHARU – Kerajaan Kelantan akan berunding dengan Ketua Masyarakat Orang Asli bagi mendapat penyelesaian susulan tindakan komuniti itu di Pos Simpol, Gua Musang yang membina sekatan bagi menghalang aktiviti pembalakan di kawasan berkenaan.
Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat Kelantan, Zamakhshari Muhamad berkata, pihaknya setakat ini masih dalam proses mendapatkan maklumat terperinci.
“Kami akan cuba mendapatkan maklumat lanjut daripada Ketua Masyarakat Orang Asli dan lihat apa yang berlaku.
“Kami akan tengok sekatan sah atau tidak dan perlu perhalusi isu yang berlaku untuk berunding,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Mesyuarat Exco di Kota Darulnaim di sini pada Rabu.
Sejak Ahad lalu, sekatan didirikan di simpang Bereglag sebagai tindakan mempertahan tanah dan wilayah adat Orang Asli daripada aktiviti pembalakan yang didakwa semakin meruncing.
Tindakan itu susulan kebimbangan penduduk terhadap kesan serius aktiviti pembalakan yang boleh menjejaskan kehidupan komuniti dan keseimbangan alam sekitar di kawasan tersebut.
Mengulas lanjut, Zamakhshari menjelaskan sebarang isu melibatkan Orang Asli akan ditangani melalui saluran rasmi iaitu Ketua Masyarakat Orang Asli di setiap perkampungan.
“Sebarang isu akan dibincangkan bersama mereka bagi mencari penyelesaian terbaik,” jelasnya.
Tambah beliau, pendekatan rundingan bukan perkara baharu dan sering digunakan sebelum ini dalam menangani isu melibatkan komuniti berkenaan.
“Kerajaan negeri sedia berunding dengan komuniti Orang Asli bagi memastikan isu yang timbul dapat diselesaikan secara harmoni tanpa menjejaskan mana-mana pihak,” ujarnya.




