JASIN - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memohon bantuan orang ramai bagi mengesan waris kepada seorang bayi perempuan berusia lima bulan, Puteri Dhia Izzahra.
Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Jasin, Nazirah Mohd Noh berkata, pihaknya menerima aduan mengenai bayi berkenaan yang didapati tidak mempunyai waris atau penjaga sah di sisi undang-undang.
Menurutnya, siasatan awal mendapati bayi tersebut tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri serta maklumat latar belakang keluarga yang jelas.
“Kanak-kanak juga tidak dapat memberi maklumat mengenai latar belakang mahupun waris terdekat kerana masih bayi.
“Susulan itu pihak JKM telah mengambil tindakan menyelamatkan bayi berkenaan di bawah Seksyen 17(1)(e) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya pada Khamis.
Selain itu katanya, satu perintah di bawah Seksyen 15(3) akta sama turut dipohon bagi tujuan mengesan waris bayi berkenaan,
Justeru katanya, JKM memohon orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai bayi tersebut atau ibunya untuk tampil membantu.
Maklumat ibu kandung dikenal pasti sebagai Salwa Maulana Putri dengan nombor pasport X6266404.
Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Jasin, Melaka atau Pelindung Kanak-Kanak di talian 06-5291285 bagi membantu siasatan.




