Halim Othman Kekal Tenang, Minta Anak Jumpa Ibu Kalau Tak Puas Hati

13 May 2024 • 4:26 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Myra Natasya dan bapanya, Halim Othman - Gambar Facebook

Pendedahan berani pelakon Myra Natasya, 29 yang mendakwa dirinya merupakan anak tidak sah taraf pada hujung minggu lalu membuatkan industri hiburan tempatan gempar seketika.

Myra atau nama sebenarnya Yusmyra Natasya Abdullah mendakwa Halim Othman dan ibunya tidak pernah berkahwin di Thailand seperti yang didakwa. Malah, dia mengakui kenyataannya sebelum ini tentang perkahwinan itu adalah untuk menjaga nama baik semua pihak.

“Ibu bapa saya tidak pernah berkahwin pun! Apabila saya ceburi bidang seni, saya beritahunya supaya jangan risau dan akan lindungi nama baiknya dan beritahu kepada media mereka bernikah di Thailand.”

“Saya terpaksa menipu ketika memberi kenyataan kepada media, tetapi hakikatnya saya adalah anak tak sah taraf,” ulas Myra.

Pendedahan yang dibuat oleh gadis ini gara-gara perselisihan faham yang tercetus setelah dia mendapat tahu Halim memasukkan namanya di bahagian maklumat bapa pada sijil kelahiran Myra tiga tahun lalu. 

Jelas Myra, Halim tidak berbincang dengannya terlebih dahulu dan ia telah melukakan hati bapa tirinya.

Lantaran itu pelbagai andaian timbul terhadap bekas penyampai radio Suria FM itu. Ini kerana pendedahan Myra itu bukanlah sesuatu yang enteng kerana ia melibatkan nasab keluarga dan tidak boleh diperkotak-katikkan.

Persoalannya, bagaimana penerimaan Halim Othman tentang perkara ini? Jadi, untuk mendapatkan penjelasan lanjut, Getaran telah menghubungi personaliti ini. Jawapan yang diberikan oleh Halim cukup ringkas.

“Cerita ini adalah cerita lama, Tiga puluh tahun lepas. Tak perlu dibuka semua dan panjangkan lagi. Let’s all move on. Dia sentiasa boleh berjumpa dengan saya atau ibunya jika ada apa-apa yang dia tidak puas hati”, ulas Halim.

Dalam masa yang sama, Halim juga mendedahkan bahawa keadaan emosi Myra sekarang ini tidak begitu baik dan dia juga menjauhkan diri daripada ibunya.

Terdahulu pada 2022, Halim dan Myra mencapai kata sepakat untuk mengekalkan ‘binti Abdullah’ pada nama sebenar Myra dan tidak menukarkan kepada nama Halim. 

Keputusan itu dibuat selepas Halim mengadakan perjumpaannya dengan pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), di mana ketika itu dia dimaklumkan bahawa masalah yang dihadapinya itu bukanlah kes terpencil kerana banyak orang berhadapan situasi sepertinya ekoran tidak mempunyai dokumen perkahwinan itu.  - Getaran, 13 Mei 2024