
LONDON – Lewis Hamilton enggan terlalu memikirkan soal perebutan kejuaraan dunia Formula Satu (F1) biarpun prestasinya bersama Ferrari semakin menunjukkan peningkatan musim ini hingga berjaya berada di kedudukan kedua keseluruhan.
Juara dunia tujuh kali itu berkata, tumpuannya ketika ini adalah memastikan dia dapat memberikan prestasi terbaik dalam setiap perlumbaan berbanding terlalu awal memikirkan perebutan gelaran dunia.
Hamilton sebelum ini berdepan kecaman hebat kerana gagal mempamerkan prestasi sebenar sehingga ada pihak yang menggesa Hamilton supaya mula memikirkan mengenai potensi untuk bersara.
Bagaimanapun, pelumba Britain itu berjaya menutup mulut pengkritik pada saingan musim ini apabila meraih kemenangan pertama bersama Ferrari selepas menjuarai Grand Prix (GP) Barcelona di Litar Catalunya pada Jun lalu.
“Saya fikir prestasi saya musim ini mungkin sedikit baik berbanding apa yang disasarkan. Buat masa sekarang, saya hanya mahu berikan fokus terhadap satu demi satu perlumbaan dan bukannya fikir mengenai kejuaraan dunia.
“Apa yang penting adalah saya perlu mencari jalan bagaimana untuk menampilkan aksi maksimum dalam setiap minggu perlumbaan. Saya bukannya seorang pelumba yang berfikir terlalu jauh ke hadapan,” katanya.
Pada masa sama, dia juga menyifatkan perubahan peraturan perlumbaan serta teknologi baharu tidak memberi kelebihan kepada mana-mana pelumba kerana semua pasukan perlu menyesuaikan diri dengan situasi tersebut. – AGENSI
The post Hamilton belum fokus buru kejuaraan dunia appeared first on Kosmo Digital.





