
JOHOR BAHRU: Sejumlah 99,693 kandungan media sosial berunsur penipuan termasuk akaun palsu dan penyamaran diturunkan setakat 15 Julai tahun ini.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan berbanding 98,503 kandungan yang diturunkan sepanjang tahun lalu.
Katanya, jumlah permohonan yang dihantar kepada platform media sosial seperti Meta, TikTok dan YouTube bagi menurunkan kandungan berkenaan adalah sebanyak 106,268 sehingga 15 Julai lalu.
“Memang ada sedikit perbezaan kerana walaupun permohonan itu dihantar oleh MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia), platform masih mempunyai kuasa mutlak untuk menurunkan atau sebaliknya kandungan berkenaan.
“Namun, untuk kes penipuan, penyamaran dan akaun palsu kadar pematuhan (platform) biasanya melebihi 90 peratus,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program MADANI Kita (PMK) 2026 Negeri Johor di Dewan Raya Taman Desa, Skudai, di sini hari ini.
Nie Ching berkata, jumlah kandungan media sosial berunsur perjudian pulak mencatatkan penurunan daripada 289,486 pada tahun lalu kepada 222,257 pada tahun ini.
Dalam pada itu, Nie Ching yang juga Ahli Parlimen Kulai mengingatkan orang ramai agar tidak mencetuskan kemarahan umum dengan isu mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik.
Katanya, Jabatan Penerangan (Japen) menerusi kempen “1Rumah 1Jalur Gemilang” menggalakkan rakyat mengibarkan bendera negara sepanjang Bulan Kebangsaan bermula bulan ini hingga September ini.
“Kami menerima banyak aduan bahawa tindakan yang diambil sama ada oleh pihak berkuasa tempatan atau polis mengenai insiden mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik.
“Sekiranya mereka dengan sengajanya nak rosakkan Jalur Gemilang ataupun ada tindakan-tindakan penghinaan, mungkin dia boleh disiasat di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, tetapi setakat ini kami tidak diminta ambil tindakan,” katanya.-UTUSAN
The post Hampir 100,000 kandungan media sosial berunsur penipuan, penyamaran diturunkan appeared first on Utusan Malaysia.






