
SHAH ALAM – Lambakan kandungan penipuan dalam talian semakin membimbangkan apabila hampir 100,000 kandungan scam dikesan dalam tempoh hanya tujuh bulan, tahun ini.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, sebanyak 99,693 kandungan dalam penipuan yang dicatatkan sehingga 15 Julai lalu berbanding hanya 6,297 kandungan pada 2023.
Menurutnya, jumlah itu meningkat lebih 10 kali ganda pada 2024 apabila sebanyak 63,652 kandungan penipuan diturunkan sebelum melonjak kepada 98,503 kandungan pada tahun lalu.
“Ini sangat membimbangkan kerana kita tidak mahu orang ramai ditipu oleh kandungan ini,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran kenderaan penghantaran elektrik SPX Express, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, semua pengendali platform dalam talian diberikan tempoh sehingga hujung tahun ini untuk mengenal pasti pihak yang membuat iklan di platform masing-masing selain memastikan kandungan penipuan diturunkan.
Media sebelum ini melaporkan, Dewan Negara meluluskan RUU Jenayah Siber 2026 bagi memperkukuh kerangka perundangan negara dalam menangani ancaman jenayah siber yang semakin kompleks. – KOSMO! ONLINE
The post Hampir 100,000 kandungan scam dalam tujuh bulan appeared first on Kosmo Digital.






