
PUTRAJAYA: Kerugian akibat penipuan dalam talian di Malaysia mencecah RM958 juta bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, jumlah itu direkodkan dalam tempoh hanya enam bulan berbanding RM2.9 bilion sepanjang tahun lalu.
“Dalam konteks penipuan dalam talian, kerugian yang direkodkan di Malaysia mencecah RM958 juta bagi tempoh Januari hingga Jun 2026, berbanding RM2.9 bilion sepanjang tahun 2025,” katanya ketika berucap pada Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di sini hari ini.
Menurut Fahmi, MCMC turut merekodkan sebanyak 470,593 permohonan untuk menurunkan kandungan di platform media sosial bagi tempoh 1 Januari hingga 17 Ogos lalu.
Jelasnya, daripada jumlah itu, sebanyak 436,661 kandungan berjaya diturunkan dengan kadar pematuhan sebanyak 93 peratus.
Selain itu, katanya, sebanyak 39 permohonan membabitkan kandungan dalam talian yang berkaitan dengan Online Safety Act (ONSA) turut dikemukakan dengan 38 daripadanya diturunkan, sekali gus mencatatkan kadar pematuhan sebanyak 97 peratus.
Tambahnya, dalam tempoh sama, MCMC turut mengeluarkan 2,139 arahan sekatan melibatkan penutupan domain yang dikenal pasti melanggar peraturan.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, setiap platform media sosial seharusnya bertindak secara proaktif untuk mengesan, menyekat dan menurunkan kandungan memudaratkan yang jelas melanggar garis panduan serta terma penggunaan mereka.
Katanya, kelewatan mengambil tindakan hanya akan meningkatkan risiko kemudaratan kepada masyarakat. – UTUSAN
The post Kerugian akibat penipuan dalam talian sudah cecah RM958 juta appeared first on Utusan Malaysia.





