amree02/11/2026 - 14:15 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 2 Nov — Seramai hampir 100 kakitangan Media Mulia Sdn Bhd, penerbit akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo! bakal terlibat dalam program cuti berbayar susulan langkah penyusunan semula operasi syarikat yang mahu memberi tumpuan lebih besar kepada platform digital.
Langkah itu diumumkan syarikat tersebut pada Ahad sebagai sebahagian daripada penilaian semula model perniagaan, struktur operasi dan hala tuju korporat bagi memastikan kelangsungan penerbit berkenaan dalam menghadapi perubahan landskap industri media tempatan.
Pengarah merangkap Ketua Pegawai Kewangan Media Mulia, Abd Wahid Idris berkata, penyesuaian itu mencerminkan perubahan industri media semakin beralih kepada platform digital, yang memerlukan syarikat menilai semula keperluan operasi dan penggunaan sumber manusia.
"Program tersebut bertujuan membolehkan syarikat ini untuk memberi penekanan kepada usaha pembangunan kandungan digital serta platform penyampaian berita yang lebih berkualiti dan berkesan," jelas beliau dalam kenyataan.
Bagaimanapun ujarnya, Media Mulia menegaskan penerbitan akhbar bercetak Utusan Malaysia dan Kosmo! tetap akan diteruskan bagi memenuhi keperluan pembaca yang masih setia mendapatkan berita melalui edisi fizikal.
Syarikat itu turut memberi jaminan bahawa langkah rasionalisasi berkenaan tidak akan menjejaskan identiti dan legasi kedua-dua jenama, termasuk keunikan kandungan, pendekatan editorial, gaya pemberitaan serta kredibiliti yang dibina selama ini.

Abd Wahid dalam pada itu menambah, pengurusan sedia ada sudah mengambil pelbagai langkah bagi menghidupkan semula kedua-dua akhbar berkenaan selepas pemilik terdahulu, Utusan Melayu (M) Berhad menamatkan operasi pada 2019.
Justeru, katanya, penyesuaian strategik itu perlu dilaksanakan bagi memastikan Utusan Malaysia dan Kosmo! serta organisasi di sebaliknya terus beroperasi, sekali gus mengelakkan keadaan yang membawa kepada penutupan sebelum ini berulang.
"Transformasi tersebut yang dilaksanakan Media Mulia, turut bertujuan menjamin masa depan kedua-dua jenama berkenaan melalui penghasilan kandungan editorial yang lebih berkualiti, berwibawa dan dipercayai," jelas beliau.
Dalam masa sama ujar Abd Wahid, syarikat tersebut menegaskan komitmen untuk menjaga kebajikan serta hak semua kakitangan yang akan terlibat mengikut peruntukan undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa.
Langkah itu mencerminkan cabaran yang dihadapi penerbit media tradisional untuk menyesuaikan model perniagaan dengan perubahan tabiat pembaca, selain memastikan operasi kekal mampan dalam persekitaran industri yang semakin berteraskan digital. - DagangNews.com






