
KUALA LUMPUR - Hampir 100 kakitangan Media Mulia Sdn Bhd, penerbit Utusan Malaysia dan Kosmo!, akan ditempatkan dalam cuti bergaji susulan langkah syarikat menilai semula model perniagaannya dalam menghadapi perubahan landskap industri media.
Media Mulia berkata, proses rasionalisasi itu merupakan sebahagian daripada kajian strategik terhadap operasi dan hala tuju syarikat bagi memastikan kelangsungan perniagaan dalam jangka panjang.
Pengarah dan Ketua Pegawai Kewangan Media Mulia, Abd Wahid Idris, berkata langkah berkenaan mencerminkan perubahan industri media yang semakin beralih kepada platform digital.
Menurutnya, program itu membolehkan syarikat menilai semula keperluan operasi, penempatan sumber manusia dan kapasiti bagi memberi tumpuan kepada kandungan digital serta platform penyampaian berita yang lebih berkesan.
Bagaimanapun, beliau berkata, syarikat kekal komited meneruskan penerbitan akhbar bercetak bagi memenuhi keperluan pembaca setia.
Wahid turut memberi jaminan bahawa langkah rasionalisasi itu tidak akan menjejaskan identiti dan legasi Utusan Malaysia serta Kosmo!, termasuk keunikan kandungan, identiti editorial, pendekatan pemberitaan dan kredibiliti kedua-dua jenama berkenaan.
Beliau berkata, pengurusan semasa juga telah berjaya menghidupkan semula kedua-dua akhbar itu selepas pemilik terdahulu menghentikan operasi pada 2019.
Media Mulia turut menegaskan komitmennya untuk menjaga kebajikan dan hak kakitangan selaras dengan undang-undang yang berkuat kuasa. - Getaran, 2 November 2026






