
Isteri kepada bintang Gegar Vaganza Fantasia (GVF), Mawi iaitu Nora Asyikin Rahmat mencuri perhatian apabila menghadiahkan suaminya sebuah mikrofon khas berwarna oren yang terukir nama Mawi.
Menerusi perkongsian di Instagram, Asyikin atau lebih mesra disapa Ekin berkata, Mawi tidak pernah mempunyai mikrofon sendiri meskipun sudah lebih dua dekad bergelar penyanyi.
Menurut Ekin, pemilihan warna oren itu juga mempunyai maksud tersendiri yang melambangkan asal usul Mawi yang berasal dari Felda.
“Sekian lama kena paksa, akhirnya member pasrah juga. Selalunya dia akan cakap malu la pakai mikrofon sendiri nanti nampak macam poyo je. Aduhai Mawi. Ingat mikrofon Mawi, jadi ingat warna Felda, asal usul dia,” tulisnya.
Dalam hantaran sama, pelantun lagu Kian itu turut meluahkan rasa terharu dan berterima kasih kepada isterinya atas pemberian tersebut.
Mawi berkata sepanjang 21 tahun bergelar penyanyi, dia hanya menggunakan mikrofon yang disediakan oleh pihak penganjur setiap kali membuat persembahan.
“21 tahun saya menyanyi, hari ini saya baru dapat mikrofon sendiri. Sebelum ini, saya pakai apa yang ada. Ini pun dapat hadiah Ekin bagi. Di hari jadi dia, dia kasi saya. Warna yang dia pilih ini pun taste dia,” ujarnya.
Sekadar info, Mawi mendirikan rumah tangga dengan Ekin pada 20 Disember 2008 dan hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan bernama Cahaya Malaika.






