Hampir RM60,000 lesap selepas imbas kod QR: Mahkamah Tinggi arah saman terhadap Maybank diteruskan

LocalBusiness & Finance
16 Oct 2026 • 12:10 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Hampir RM60,000 lesap selepas imbas kod QR: Mahkamah Tinggi arah saman terhadap Maybank diteruskan Image from: Hampir RM60,000 lesap selepas imbas kod QR: Mahkamah Tinggi arah saman terhadap Maybank diteruskan liza16/10/2026 - 12:10 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 16 Okt – Mahkamah Tinggi Johor Bahru mengarahkan saman seorang pelanggan Maybank yang mendakwa kehilangan RM59,867.61 akibat pemindahan wang dalam talian tanpa kebenaran diteruskan ke perbicaraan penuh.

 

Keputusan itu dibuat Pesuruhjaya Kehakiman Noradura Hamzah yang memutuskan bahawa Mahkamah Sesyen tersilap apabila membatalkan saman Wong Bair Lim, 57, pada November 2025.

 

Dalam penghakiman bertulis setebal 23 halaman bertarikh 2 April, Noradura berkata beberapa persoalan penting dalam kes berkenaan masih dipertikaikan dan tidak sepatutnya diputuskan tanpa perbicaraan penuh.

 

 

 

 

 

 

Beliau berkata, Mahkamah Sesyen sebelum ini membuat kesimpulan bahawa transaksi berkenaan berasal daripada peranti Wong, diluluskan menerusi portal Maybank2u dan berlaku dalam sistem yang selamat, selain mengaitkan kerugian itu dengan kecuaian pelanggan berkenaan.

 

Bagaimanapun, Wong mempertikaikan dapatan tersebut, sekali gus menjadikan isu berkenaan perkara fakta yang perlu diteliti melalui keterangan saksi dan pemeriksaan balas.

 

Persoalan mengenai transaksi tanpa kebenaran

Antara perkara yang perlu diputuskan ialah sama ada Wong sendiri mengakses Maybank2u dan membenarkan pemindahan wang itu atau transaksi berkenaan dilakukan pihak ketiga tanpa pengetahuannya.

 

Mahkamah turut perlu menentukan sama ada had pemindahan harian akaunnya dinaikkan daripada RM2,000 kepada RM60,000 oleh Wong sendiri atau individu lain tanpa kebenarannya.

 

Selain itu, status permintaan pengesahan Secure2u turut menjadi persoalan, termasuk sama ada permintaan berkenaan diterima dan diluluskan oleh Wong seperti yang didakwa Maybank atau dilakukan pihak ketiga, lapor The Edge.

 

Mahkamah juga mempersoalkan sama ada alamat protokol internet (IP) yang dikaitkan dengan transaksi itu dapat dibuktikan secara muktamad sebagai alamat yang digunakan Wong untuk mengakses sistem perbankan berkenaan.

 

Noradura menjelaskan bahawa Wong tidak mendakwa Maybank merancang atau mengatur penipuan tersebut, sebaliknya mendakwa dirinya menjadi mangsa penipuan dalam talian oleh pihak ketiga.

 

Beliau berkata, percanggahan fakta yang material perlu diselesaikan melalui pemeriksaan balas saksi ketika perbicaraan, selaras dengan prinsip undang-undang yang dirujuk daripada keputusan Mahkamah Persekutuan.

 

Bukti digital perlu diperiksa

Berhubung bukti digital yang digunakan dalam keputusan Mahkamah Sesyen, termasuk rekod telefon, alamat IP dan sejarah transaksi, Noradura berkata kesahihan serta kebolehpercayaannya perlu dibuktikan mengikut Seksyen 90A, 90B dan 90C Akta Keterangan 1950.

 

Beliau turut menegaskan bahawa bukti digital mudah dimanipulasi, justeru persoalan sama ada rekod berkenaan merupakan bukti asal dan boleh dipercayai perlu diuji dalam perbicaraan, termasuk melalui keterangan pakar bebas.

 

Sehubungan itu, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa Mahkamah Sesyen tersilap menggunakan Aturan 18, Kaedah 19 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 untuk membatalkan saman pada peringkat awal tanpa perbicaraan penuh.

 

Kes itu kemudiannya diperintahkan untuk dikembalikan ke Mahkamah Sesyen bagi pendengaran lanjut, manakala Maybank diarahkan membayar kos RM8,000 kepada Wong.

 

Lima transaksi dalam tempoh lapan minit

Menurut Wong, beliau menyedari kehilangan wang berjumlah RM59,867.61 daripada akaunnya pada 13 Julai 2024 tanpa pengetahuan atau persetujuannya.

 

Dalam tempoh lapan minit antara 1.44 petang hingga 1.52 petang, sebanyak lima transaksi pemindahan wang dilakukan, dengan nilai setiap transaksi antara RM9,829.31 hingga RM17,500.

 

Pemindahan itu melibatkan BigPay Malaysia, sebuah lagi bank tempatan dan GX Bank. Wong menghubungi Maybank pada hari yang sama selepas menyedari wangnya telah dipindahkan.

 

Maybank pula berhujah bahawa siasatan dalaman mendapati transaksi tersebut berasal daripada akaun Wong menerusi aplikasi Maybank2u.

 

Menurut bank, Wong mengakui telah mengimbas kod QR pihak ketiga untuk membuat pembelian sebelum skrin telefonnya tiba-tiba menjadi gelap ketika pemindahan wang berlaku.

 

Pada November 2025, Hakim Mahkamah Sesyen Lailawati Ali membatalkan saman itu susulan permohonan Maybank berdasarkan keterangan afidavit.

 

 

 

 

Dalam alasan penghakimannya setebal 16 halaman, beliau menyifatkan saman tersebut sebagai remeh, menyusahkan dan penyalahgunaan proses mahkamah, selain berpandangan ia difailkan semata-mata untuk menimbulkan kesulitan kepada pihak bank.

 

Dalam prosiding di Mahkamah Tinggi, Wong diwakili Lim Pang Kiat dan Fung Yu Qi daripada Pang Kiat, Yu Qi Law Chambers, manakala Maybank diwakili Tengku Nazihah Hanis Tengku Abd Nawawi daripada Sidek Teoh Wong & Dennis. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved