Mahkamah Tinggi Shah Alam arah anak syarikat EGH International bayar RM1.03 juta kepada Tropics Interior

LocalBusiness & Finance
13 Oct 2026 • 11:53 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Mahkamah Tinggi Shah Alam arah anak syarikat EGH International bayar RM1.03 juta kepada Tropics Interior Image from: Mahkamah Tinggi Shah Alam arah anak syarikat EGH International bayar RM1.03 juta kepada Tropics Interior liza13/10/2026 - 11:53 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 13 Okt – Mahkamah Tinggi Shah Alam memerintahkan anak syarikat milik penuh EGH International Bhd, ECO Interiors International Sdn Bhd, membayar RM1.03 juta kepada Tropics Interior (M) Sdn Bhd (TISB) susulan pertikaian kontrak antara kedua-dua pihak.

 

Syarikat yang bakal tersenarai di Pasaran ACE itu berkata, Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 25 September 2026 menolak permohonan ECO Interiors untuk mengetepikan keputusan adjudikasi terdahulu serta menangguhkan prosiding berkaitan.

 

Mahkamah turut membenarkan permohonan TISB untuk menguatkuasakan keputusan adjudikasi berkenaan dan mengarahkan ECO Interiors membayar RM1.03 juta yang merangkumi jumlah adjudikasi, kos prosiding dan faedah terkumpul.

 

Daripada jumlah keseluruhan RM1,032,444.83 itu, sebanyak RM866,424.50 merupakan jumlah adjudikasi, manakala RM51,604.82 ialah kos adjudikasi dan RM114,415.51 merupakan faedah terkumpul setakat 25 September 2026.

 

Faedah pada kadar 5% setahun juga akan terus dikenakan ke atas jumlah adjudikasi RM866,424.50 sehingga bayaran penuh diselesaikan.

 

Selain itu, ECO Interiors diperintahkan membayar kos guaman sebanyak RM20,000 berhubung tiga permohonan yang diputuskan oleh mahkamah pada 25 September lalu.

 

Keputusan mahkamah itu menyusul selepas TISB mengambil tindakan untuk menguatkuasakan keputusan adjudikasi bertarikh 18 Disember 2025 dalam pertikaian kontrak berkenaan.

 

Permohonan injunksi turut ditolak

EGH International berkata, Mahkamah Tinggi pada 2 Oktober 2026 turut menolak permohonan injunksi Fortuna yang difailkan oleh ECO Interiors.

 

Mahkamah turut memerintahkan anak syarikat berkenaan membayar kos sebanyak RM10,000 berhubung permohonan tersebut.

 

Sebelum itu, pada 29 September 2026, ECO Interiors memfailkan permohonan untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi sementara menunggu rayuannya diputuskan.

 

Anak syarikat itu turut memohon injunksi bagi menghalang TISB daripada memulakan tindakan penguatkuasaan atau prosiding penggulungan terhadapnya.

 

Pertikaian kontrak belum diputuskan secara muktamad

Walaupun berdepan keputusan mahkamah berkenaan, EGH International menjangkakan perkara itu tidak memberi kesan material terhadap aliran tunai kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2027.

 

Syarikat itu menjelaskan bahawa keputusan Mahkamah Tinggi berkenaan hanya berkaitan penguatkuasaan keputusan adjudikasi dan bukannya penentuan muktamad mengenai hak kontrak kedua-dua pihak.

 

Menurutnya, hak dan tuntutan kontrak antara ECO Interiors dengan TISB akan ditentukan melalui proses timbang tara.

 

Ini bermakna, keputusan mahkamah berkenaan berkaitan penguatkuasaan keputusan adjudikasi tidak menamatkan keseluruhan pertikaian kontrak antara kedua-dua pihak, yang masih perlu diselesaikan melalui proses timbang tara.

 

Pertikaian itu melibatkan kontrak kerja pembekalan dan pemasangan dinding kering (drywall) serta siling antara kedua pihak yang membawa kepada proses adjudikasi, iaitu mekanisme penyelesaian pertikaian pembayaran dalam kontrak pembinaan, yang menghasilkan keputusan memihak kepada Tropics Interior. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved