
KUALA LANGAT: Lebih 900,000 pelajar di seluruh Selangor bakal menikmati sarapan berkhasiat percuma secara serentak menerusi Mega Program Nutrisi Selangor (Nutrisel) pada pertengahan bulan ini.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, peruntukan tambahan sebanyak RM2 juta diberikan bagi menambah makanan antaranya roti dan susu.
“Inisiatif berkenaan melibatkan lebih 900 sekolah di seluruh negeri bagi memastikan murid mendapat makanan berkhasiat dan keperluan zat yang mencukupi. Insya-Allah, Mega Nutrisel akan dilaksanakan untuk satu hari.
“Kalau ada maklum balas baik daripada murid dan ibu bapa, kita akan pertimbang akan laksanakan program ini secara berterusan,” katanya selepas meninjau pelaksanaan Nutrisel di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Telok Panglima Garang, di sini, hari ini.
Pada Ogos lalu, Utusan Malaysia melaporkan sebanyak RM14.4 juta diperuntukkan bagi program tersebut bermula dari 3 Ogos hingga 3 Oktober lalu.
Program tersebut sasar sebanyak 962 sekolah di seluruh negeri yang melibatkan 106,435 murid yang ibu bapanya berpendapatan bawah RM2,000 di Selangor menerima manfaat, dengan kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah RM14.4 juta bagi melaksanakan program terbabit. – UTUSAN
The post Hampir sejuta pelajar di Selangor bakal nikmati sarapan percuma appeared first on Utusan Malaysia.






