MB: Mega NutriSel pertengahan Oktober, manfaat hampir 900,000 pelajar

LocalHealth & Fitness
5 Oct 2026 • 12:37 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

MB: Mega NutriSel pertengahan Oktober, manfaat hampir 900,000 pelajar

TELOK PANGLIMA GARANG, 5 OKT: Hampir 900,000 pelajar di seluruh Selangor dijangka menerima manfaat menerusi pelaksanaan Mega NutriSel yang akan berlangsung pada pertengahan Oktober ini.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program itu akan diperluaskan ke sekolah di seluruh negeri sebagai sebahagian usaha Kerajaan Negeri memperkukuh sokongan nutrisi kepada pelajar.

Image from: MB: Mega NutriSel pertengahan Oktober, manfaat hampir 900,000 pelajar
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersalaman bersama pelajar sekolah ketika hadir dalam majlis Simbolik Penyerahan Program Nutrisi Selangor (NUTRISEL) di Sekolah Menengah Kebangsaan Telok Panglima Garang, Kuala Langat pada 5 Oktober 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIA SELANGOR

“Mega NutriSel akan dilaksanakan pada pertengahan Oktober di sekolah seluruh Selangor dengan kira-kira 900,000 pelajar dijangka menerima manfaat,” katanya selepas Program NutriSel di SMK Telok Panglima Garang di sini hari ini.

Pada masa sama, Amirudin berkata Kerajaan Negeri sedang meneliti keperluan peruntukan dan kos dalam belanjawan bagi memastikan program NutriSel dapat diteruskan.

Program NutriSel ketika ini memberi manfaat kepada 104,640 murid dan pelajar daripada keluarga berpendapatan isi rumah bawah RM2,000 di 932 sekolah seluruh Selangor.

Di Kuala Langat sahaja, sebanyak 78 sekolah membabitkan 8,616 pelajar menerima manfaat program berkenaan.

Image from: MB: Mega NutriSel pertengahan Oktober, manfaat hampir 900,000 pelajar
Para pelajar menyambut baik program Nutrisi Selangor (NUTRISEL) dalam majlis Simbolik Penyerahan Program Nutrisi Selangor (NUTRISEL) di Sekolah Menengah Kebangsaan Telok Panglima Garang, Kuala Langat pada 5 Oktober 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIA SELANGOR

Menurut Amirudin, Kerajaan Negeri turut menerima tambahan peruntukan RM2 juta bagi memperkukuh pelaksanaan NutriSel, termasuk menambah bekalan makanan tahan lama seperti susu dan roti.

“Di Kuala Langat, sebanyak 78 sekolah membabitkan 8,616 pelajar menerima manfaat NutriSel dan kita turut menerima tambahan RM2 juta daripada peruntukan sedia ada supaya program ini boleh diperkasakan.

“Kita menambah makanan yang boleh tahan lama seperti susu dan roti,” katanya.

Di Telok Panglima Garang, seramai 124 murid SK Telok Panglima Garang dan 622 pelajar SMK Telok Panglima Garang menerima makanan menerusi program berkenaan.

Pengetua SMK Telok Panglima Garang, Hanizam Kassim berkata pelaksanaan NutriSel turut memberi kesan positif terhadap kehadiran pelajar.

“Selepas adanya NutriSel, kita lihat pelajar semakin rajin datang ke sekolah kerana mereka menerima makanan percuma dua kali seminggu.

“Jumlah penerima ini memang berbaloi dan membantu pelajar yang memerlukan,” katanya.

Para pelajar menyambut baik program Nutrisi Selangor (NUTRISEL) dalam majlis Simbolik Penyerahan Program Nutrisi Selangor (NUTRISEL) di Sekolah Menengah Kebangsaan Telok Panglima Garang, Kuala Langat pada 5 Oktober 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIA SELANGOR

NutriSel dilaksanakan serentak di 932 sekolah seluruh negeri sejak 3 Ogos lalu dengan makanan percuma disediakan setiap Isnin dan Khamis menerusi peruntukan keseluruhan RM12.5 juta.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved