Hampir seminggu hilang: Mangsa tertidur dalam MPV, maut akibat keracunan gas karbon monoksida

30 May 2026 • 4:44 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Hampir seminggu hilang: Mangsa tertidur dalam MPV, maut akibat keracunan gas karbon monoksida
Laporan Sinar Harian pada Jumaat mengenai mayat lelaki yang berasal dari Ayer Itam ditemukan dalam keadaan berpakaian kemas dan berbaring di tempat duduk pemandu kereta milik isterinya yang dikunci dari dalam.
Image from: Hampir seminggu hilang: Mangsa tertidur dalam MPV, maut akibat keracunan gas karbon monoksida

GEORGE TOWN - Lelaki tempatan yang ditemukan maut di dalam sebuah kereta di hadapan kedai aiskrim di Jalan Sungai Dua di sini semalam disahkan meninggal dunia akibat keracunan gas karbon monoksida.

Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut Superintenden, Lee Swee Sake berkata, punca kematian lelaki berusia 37 tahun itu diperoleh hasil bedah siasat di Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang di sini hari ini.

"Mangsa juga dipercayai telah meninggal dunia kira-kira lima hari sebelum mayatnya ditemukan semalam.

"Tiada unsur jenayah dikesan. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan satu Laporan Mati Mengejut telah dibuka untuk siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Mangsa, seorang jurutera dipercayai tertidur di dalam kereta tanpa mematikan enjin kenderaan.

Semalam, mayat lelaki yang berasal dari Ayer Itam ditemukan dalam keadaan berpakaian kemas dan berbaring di tempat duduk pemandu kereta milik isterinya yang dikunci dari dalam pada jam 11.47 pagi. 

Terdahulu, isteri mangsa yang enggan dikenali berkata, suaminya yang menghidap penyakit diabetes itu keluar dari rumah pada Rabu lalu untuk ke Kuala Lumpur atas urusan kerja dan dijadualkan pulang pada Sabtu.

“Semasa dalam perjalanan, dia ada memaklumkan perlu ke pejabatnya di Bayan Baru sebelum saya gagal menghubunginya kira-kira jam 11 malam,” katanya.

Beliau berkata, satu laporan polis dibuat pada Sabtu lalu selepas suaminya gagal dihubungi sebelum dimaklumkan mengenai penemuan mayat itu hari ini.