Lelaki tempatan ditemukan meninggal dunia dalam kereta berkunci depan kedai ais krim

29 May 2026 • 7:12 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Lelaki tempatan ditemukan meninggal dunia dalam kereta berkunci depan kedai ais krim
Mangsa yang berasal dari Ayer Itam itu, ditemukan dalam keadaan berpakaian kemas. Gambar hiasan

GEORGE TOWN - Seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun ditemukan meninggal dunia di dalam sebuah kereta di hadapan kedai ais krim di Jalan Sungai Dua, di sini, pagi tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut Superintendan Lee Swee Sake berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu daripada orang awam pada 11.47 pagi.

Beliau berkata mangsa yang berasal dari Ayer Itam itu, ditemukan dalam keadaan berpakaian kemas dan berbaring di tempat duduk pemandu kereta milik isterinya, yang dikunci dari dalam.

"Hasil siasatan pada badan mangsa dan kawasan sekitar mendapati tiada sebarang unsur jenayah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Lee berkata polis menganggarkan mangsa telah meninggal dunia kira-kira lima hari sebelum ditemukan.

Beliau berkata mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat, dengan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan satu Laporan Mati Mengejut telah dibuka untuk siasatan lanjut. - Bernama