
PETALING JAYA – Sebanyak 39 kawasan di seluruh negara mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat setakat pukul 3.30 petang ini, dengan sebahagian besar kawasan terjejas tertumpu di Pantai Barat dan Selatan Semenanjung.
Keadaan itu menyaksikan beberapa kawasan di Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor merekodkan bacaan IPU melebihi 100, sekali gus berada pada tahap tidak sihat.
Menurut portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS), Johan Setia, Selangor mencatatkan bacaan tertinggi dengan 187, diikuti Cheras (177), Nilai (175), Serian (174), Putrajaya (173), Shah Alam (173), Tangkak (172), Seremban (171), Batu Muda (168) dan Pasir Gudang (167).
Turut mencatatkan bacaan tidak sihat ialah Klang (166), Petaling Jaya (165), Alor Gajah (164), Bukit Rambai (164), Kota Tinggi (164), Banting (163), Kuala Selangor (162), Larkin (162), Batu Pahat (161), Pengerang (161) dan Port Dickson (158).
Sementara itu, beberapa kawasan di Pantai Timur dan utara Semenanjung serta Sarawak turut merekodkan bacaan tidak sihat, termasuk Indera Mahkota Kuantan (167), Temerloh (162), Jerantut (162), Balok Baru Kuantan (162), Kemaman (161), Paka (158), Kuala Terengganu (157), Tasek Ipoh (156), Rompin (155), Samarahan (155), Balik Pulau (154), Sungai Petani (153), Minden (152), Seberang Jaya (126), Kuching (117) dan Segamat (113).
Perkembangan itu turut menyaksikan Segamat muncul sebagai kawasan baharu dalam kategori tidak sihat berbanding 38 kawasan yang direkodkan pada pagi tadi.
Malah, sehingga pukul 3.30 petang juga, hanya dua kawasan pantai barat dan selatan masih lagi pada tahap IPU sederhana iaitu Kluang dengan bacaan 99 dan Bandaraya Melaka 92.
Bacaan IPU sifar hingga 50 menunjukkan kualiti udara baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 301 ke atas (berbahaya).-KOSMO! ONLINE
The post Hampir semua kawasan pantai barat, selatan Semenanjung catat IPU tidak sihat appeared first on Kosmo Online.




