
PETALING JAYA – Semua kawasan di Lembah Klang yang tersenarai dalam pemantauan kualiti udara hari ini mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat.
Berdasarkan data yang dikeluarkan portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS), sebanyak sembilan kawasan di Lembah Klang merekodkan bacaan IPU melebihi 100, dengan Johan Setia, Selangor mencatatkan bacaan tertinggi iaitu 190 sehingga pukul 9 malam tadi.
Turut merekodkan bacaan tinggi ialah Cheras, Kuala Lumpur (180), Shah Alam, Selangor (174), Putrajaya (175), Batu Muda, Kuala Lumpur (172), Klang (169), Petaling Jaya (168), Kuala Selangor (166) dan Banting (165).
Keadaan itu menyaksikan Lembah Klang kekal antara kawasan yang terjejas dengan kualiti udara tidak sihat susulan peningkatan bacaan IPU.
Secara keseluruhan, sebanyak 40 kawasan di Semenanjung Malaysia yang tersenarai mencatatkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat.
Antara kawasan lain yang mencatatkan bacaan tinggi ialah Nilai, Negeri Sembilan (178), Seremban (173), Tangkak, Johor (170), Tanjung Malim, Perak (168), Jerantut, Pahang (168) dan Temerloh, Pahang (166).
Turut merekodkan bacaan tidak sihat ialah Indera Mahkota Kuantan (166), Melaka, Seri Manjung, Alor Gajah, Pasir Gudang, Kuala Terengganu serta beberapa kawasan lain.
Di Sarawak pula, hanya satu kawasan iaitu daerah Serian mencatatkan bacaan IPU 160.
Bacaan IPU antara 101 hingga 200 dikategorikan sebagai tidak sihat, manakala bacaan 51 hingga 100 berada pada tahap sederhana.-KOSMO! ONLINE
The post Jerebu makin buruk, semua kawasan Lembah Klang tidak sihat appeared first on Kosmo Online.



