Rakyat Malaysia di Yaman dinasihat elak kawasan tentera, lapangan terbang

15 Sep 2026 • 10:58 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Rakyat Malaysia di Yaman dinasihat elak kawasan tentera, lapangan terbang

PETALING JAYA – Rakyat Malaysia yang berada di Yaman khususnya sekitar Mocha dan Taiz dinasihatkan supaya kekal di lokasi selamat serta mengehadkan pergerakan tidak penting susulan perkembangan terkini di negara itu.

Kedutaan Besar Malaysia di Muscat menerusi satu kenyataan hari ini berkata, rakyat Malaysia juga perlu mengelakkan kawasan infrastruktur ketenteraan, lapangan terbang, pelabuhan, kemudahan kerajaan, pusat pemeriksaan serta lokasi sensitif lain.

“Rakyat Malaysia hendaklah mematuhi semua arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan dan sentiasa berwaspada terhadap sebarang perubahan dalam keadaan persekitaran.

“Sebagai langkah berjaga-jaga, rakyat Malaysia juga dinasihatkan supaya memastikan pasport, dokumen penting, telefon bimbit dan keperluan ubat-ubatan mudah diakses,” katanya.

Menurut kenyataan itu, rakyat Malaysia di Yaman turut digalakkan mendaftar serta mengemas kini maklumat masing-masing menerusi portal e-Konsular bagi memudahkan urusan komunikasi dan bantuan konsular.

Pada masa sama, mereka diminta terus berhubung dengan pihak Kedutaan selain memastikan maklumat lokasi semasa serta butiran perhubungan sentiasa dikemas kini.

“Rakyat Malaysia dinasihatkan supaya mengelakkan perjalanan jarak jauh yang tidak penting buat masa ini, khususnya di kawasan yang mungkin mempunyai jalan raya terjejas.

“Mereka yang masih belum menghubungi pihak Kedutaan digalakkan untuk berbuat demikian dengan kadar segera apabila keadaan mengizinkan,” katanya.

Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular atau mahu mendaftarkan keberadaan mereka boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Muscat menerusi talian +968 7159 2388 atau e-mel mwmuscat@kln.gov.my.

Kedutaan memaklumkan pihaknya akan terus memantau perkembangan semasa dan kekal berhubung dengan rakyat Malaysia di Yaman selain menyelaras dengan pihak berkuasa serta rakan kerjasama berkaitan bagi menyediakan bantuan konsular sekiranya diperlukan. – KOSMO! ONLINE

The post Rakyat Malaysia di Yaman dinasihat elak kawasan tentera, lapangan terbang appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved