
TAWAU: Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk Rina Jainal (gambar) mendedahkan hampir separuh daripada kes kanser payudara yang dikesan di Hospital Tawau didiagnosis ketika penyakit sudah berada pada tahap ketiga.
Katanya, berdasarkan maklumat yang diterima sejak beberapa tahun lalu, antara 60 hingga 80 kes kanser payudara dikesan dalam tempoh berkenaan.
Menurutnya, pesakit terbabit terdiri daripada mereka yang pertama kali didiagnosis menghidap kanser payudara ketika penyakit sudah berada pada tahap ketiga berikutan kelewatan menjalani pemeriksaan.
Beliau menyifatkan situasi itu membimbangkan kerana hampir separuh daripada pesakit berkenaan tidak menjalani pemeriksaan awal sebelum didiagnosis sekali gus melambatkan proses rawatan.
“Stigma dan ketakutan terhadap penyakit kanser payudara antara faktor yang menyebabkan sebahagian wanita menangguhkan pemeriksaan kesihatan, termasuk tidak menghadiri temu janji yang ditetapkan.
“Bahkan masih ramai dalam kalangan wanita yang melambat-lambatkan pemeriksaan awal kerana takut,” katanya pada Program Jelajah Kesedaran Kanser Payudara 2026 di Auditorium Hospital Tawau pada Rabu. Hadir sama, Pengarah Hospital Tawau Dr Norlimah Arsad.
Rina berkata kaum wanita perlu mengutamakan pemeriksaan awal di fasiliti kesihatan dan tidak bergantung kepada rawatan kampung (tradisional) tanpa mengetahui tahap sebenar penyakit yang dihidapi.
Katanya, mereka boleh memilih perubatan alternatif sebagai ikhtiar mengikut keyakinan masing-masing, namun perlu mengutamakan pemeriksaan awal dan rawatan perubatan yang sewajarnya terlebih dahulu bagi mengelakkan mudarat.
Mereka juga diingatkan supaya tidak terpengaruh dengan produk kesihatan dan ubat-ubatan yang dipromosikan melalui strategi pemasaran tanpa memastikan kesahihan serta jaminan keselamatannya daripada Kementerian Kesihatan Malaysia.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan Sabah sentiasa memperluas kemudahan saringan percuma menerusi klinik kesihatan selain melaksanakan program capaian ke kawasan kampung dan pedalaman bagi meningkatkan kesedaran mengenai kanser payudara dalam kalangan masyarakat.
Program kesedaran kanser payudara turut dilaksanakan secara konsisten setiap tahun dengan sokongan pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Selain itu, katanya, kerajaan menyediakan kemudahan rumah transit Pink Heaven di Kota Kinabalu yang ditaja Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor bagi membantu pesakit kanser yang perlu menjalani rawatan di ibu negeri termasuk mereka dari Tawau, Sandakan dan Semporna.
Terdapat juga Program Salam yang menyediakan bantuan kepada pesakit kanser termasuk kanser payudara dan jenis kanser lain selain pelbagai bentuk sokongan daripada wakil rakyat, agensi kerajaan dan NGO.



