Zakat wakalah Yayasan MBI ringankan beban pesakit, bantu mahasiswa

LocalPersonal Finance
24 Oct 2026 • 12:00 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Zakat wakalah Yayasan MBI ringankan beban pesakit, bantu mahasiswa

SHAH ALAM, 24 OKT: Bantuan zakat wakalah Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau Yayasan MBI membawa kelegaan kepada penerima termasuk Jasni Talib, 60, yang tiada pendapatan tetap dan pada masa sama isterinya menghidap kanser payudara tahap empat.

Bersara sejak tahun lalu tanpa pencen bulanan, Jasni kini tinggal berdua bersama isteri, Zaleha Basiron, 62, di Taman Teluk Menegon, Klang.

“Dapat membantu kewangan sebab saya pun sekarang ini tak bekerja,” katanya ketika ditemui pada program penyerahan sumbangan zakat wakalah Yayasan MBI di Bangunan Darul Ehsan, di sini, hari ini.

Image from: Zakat wakalah Yayasan MBI ringankan beban pesakit, bantu mahasiswa
Jasni Talib, 60, ditemui dalam Majlis Serahan Sumbangan Zakat Wakalah MBI Selangor di Bangunan Darul Ehsan, Shah Alam pada 23 Oktober 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Menurut Jasni, isterinya dijadualkan menjalani pemeriksaan susulan dalam tempoh dua hingga tiga bulan, manakala anak-anak hanya mampu menghulurkan bantuan mengikut kemampuan kerana mempunyai tanggungjawab keluarga masing-masing.

Walaupun bersyukur menerima sumbangan berkenaan, Jasni masih berharap mendapat pekerjaan bagi memperoleh pendapatan bulanan untuk menyara kehidupan mereka.

“Kalau boleh saya nak cari kerja. Jadi saya ada pendapatan bulanan untuk menyara diri dan isteri. Tinggal kami berdua sahaja,” katanya.

Sementara itu, Mohd Hasrulnizam Mohd Saie, 40, yang mempunyai dua anak tidak menyangka permohonan bantuan dengan pertolongan majikannya membolehkan beliau menerima sumbangan tersebut selepas dimaklumkan melalui panggilan telefon.

Beliau yang menetap bersama keluarga mentua di Petaling Jaya itu berkata bantuan berkenaan akan digunakan untuk keperluan sara hidup dan membantu ibu mentuanya.

Image from: Zakat wakalah Yayasan MBI ringankan beban pesakit, bantu mahasiswa
Mohd Hasrulnizam Mohd Saie, 40, ditemui dalam Majlis Serahan Sumbangan Zakat Wakalah MBI Selangor di Bangunan Darul Ehsan, Shah Alam pada 23 Oktober 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

“Saya bersyukur sebab dapat bantuan macam ini, sebab kita tak pernah jangka pun,” katanya.

Bagi penuntut tahun dua jurusan kaunseling Universiti Malaya (UM), Mohd Khairul Aiman Majen, 20, e-mel kelulusan bantuan yang diterima kira-kira tiga bulan selepas permohonan memberi kelegaan kerana sumbangan itu dapat digunakan untuk membayar yuran pengajian.

“Waktu itu terkejut, memang bersyukur,” kata anak kelahiran Klang itu yang berharap lebih ramai mahasiswa kurang berkemampuan turut diberi perhatian bagi membantu memenuhi keperluan pengajian mereka.

Dalam program semalam, Ketua Yayasan MBI Ahmad Azri Zainal Nor menyalurkan zakat wakalah berjumlah kira-kira RM120,000 kepada 29 penerima bagi membantu menampung kos rawatan, pengajian dan sara hidup.

Image from: Zakat wakalah Yayasan MBI ringankan beban pesakit, bantu mahasiswa
Mohd Khairul Aiman Majen, 20, ditemui dalam Majlis Serahan Sumbangan Zakat Wakalah MBI Selangor di Bangunan Darul Ehsan, Shah Alam pada 23 Oktober 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved