Hamzah dakwa ada 'udang di sebalik batu' isu Bersatu tidak dijemput mesyuarat PN

LocalPolitics
23 Oct 2026 • 7:39 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Hamzah dakwa ada 'udang di sebalik batu' isu Bersatu tidak dijemput mesyuarat PN
Hamzah (tengah) semasa sidang media di Kota Bharu pada Jumaat. Foto:SINAR HARIAN/HAZELEN LIANA KAMARUDIN

KOTA BHARU – Tindakan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berhubung isu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang tidak dijemput menghadiri mesyuarat gabungan itu disifatkan sebagai langkah mengikut peraturan, bukannya mengetepikan kepentingan parti berkenaan.

Presiden Parti Wawasan Negara (Wawasan), Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, tindakan itu wajar kerana terdapat aduan ahli Bersatu sendiri kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) berhubung kesahihan mesyuarat parti berkenaan yang didakwa tidak mencukupi korum.

Menurut beliau, perkara sama pernah berlaku terhadap Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) apabila terdapat aduan berkaitan RoS sebelum parti itu dibenarkan kembali menghadiri mesyuarat selepas memaklumkan bahawa isu berkenaan telah diselesaikan.

"Kalau saya jadi setiausaha agung, saya buat benda yang sama. Tulis surat kepada Bersatu, memaklumkan bahawa mereka ada masalah ini dan minta selesaikan.

"Kalau selesai, okey. Kalau tidak selesai, mesyuarat akan datang kita tidak jemput," katanya semasa sidang media pada Jumaat.

Ujar beliau, tindakan tersebut perlu dilihat daripada sudut kepentingan keseluruhan PN dan bukannya hanya sebuah parti kerana sebarang masalah yang belum diselesaikan tidak seharusnya menjejaskan gabungan itu secara keseluruhan.

Hamzah turut mempertahankan Takiyuddin dengan menyifatkan beliau sebagai pegawai yang perlu melaksanakan tanggungjawab berdasarkan peraturan, perlembagaan dan undang-undang.

Ujar beliau, tindakan berkenaan sepatutnya diterima baik oleh mana-mana parti sekiranya ia dilakukan mengikut prosedur yang ditetapkan.

Dalam pada itu, Hamzah mendakwa tindakan membawa perkara berkenaan kepada RoS, bukannya menyelesaikannya melalui perbincangan dalaman, menimbulkan persoalan mengenai tujuan sebenar di sebalik langkah tersebut.

"Kalau sudah tak suka, bawalah dalam mesyuarat. Tak payahlah nak pergi lapor kepada RoS.

"Pada saya, yang ini adalah 'udang di sebalik batu'," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved