Hamzah kembali terajui blok pembangkang, Agong perkenan lapan akta: Speaker

LocalPolitics
22 Jun 2026 • 11:35 AM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

Image from: Hamzah kembali terajui blok pembangkang, Agong perkenan lapan akta: Speaker

KUALA LUMPUR — Datuk Seri Hamzah Zainudin kembali menyandang jawatan Ketua Pembangkang bermula 18 Jun lalu, kata Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.

“Yang Berhormat Larut (Hamzah) adalah Ketua Pembangkang setakat 20 Mei 2026. Selepas itu, Yang Berhormat Kemaman (Ahmad Samsuri) menjadi Ketua Pembangkang mulai 21 Mei hingga 10 Jun 2026. Kini, Yang Berhormat Larut mulai 18 Jun 2026 kembali menjadi Ketua Pembangkang. Tahniah Larut.

Saya mengucapkan penghargaan kepada Yang Berhormat Kemaman atas khidmat sebagai Ketua Pembangkang dalam tempoh tersebut dan mengalu-alukan Yang Berhormat Larut untuk kembali berkhidmat sebagai Ketua Pembangkang,” katanya.

Pelantikan semula Hamzah turut diumumkan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada 13 Jun lalu ketika Konvensyen RESET Malaysia di Tapak Ekspo Kota Harmoni, Tanah Merah. Abdul Hadi berkata PAS dan Gerakan RESET bersetuju mengekalkan Datuk Seri Hamzah sebagai Ketua Pembangkang.

Agong perkenan lapan akta

Johari turut memaklumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenankan lapan akta yang diluluskan dalam Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-15 antara 19 Januari hingga 3 Mac lalu.

Akta yang diperkenankan ialah Akta Perolehan Kerajaan 2025, Akta Imigresen (Pindaan) 2025, Akta Pasport (Pindaan) 2025 dan Rang Undang-Undang Perjanjian Penyelesaian Antarabangsa Yang Terhasil Daripada Pengantaraan 2025.

Seri Paduka Baginda turut memperkenankan Akta Rapid Transit System (RTS) Link Johor Bahru–Singapura 2026, Akta Pemberian Mengikut Bilangan Orang 2026, Akta Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2026 serta Akta Perbekalan Tambahan (2025) 2026.

Sementara itu, Johari dalam pemasyhurannya memaklumkan Rang Undang-Undang Sistem Insurans Pekerjaan (Pindaan) 2025 telah dipersetujui oleh Dewan Negara, namun dengan pindaan kepada Fasal 11.

“Saya telah menimbangkan pindaan itu di bawah Peraturan Mesyuarat 73 (1), Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat dan saya mendapati bahawa pindaan itu menepati tujuan dewan ini dan hanya melibatkan pindaan satu fasal sahaja.

Oleh demikian, saya dengan ini memaklumkan kepada majlis (Dewan Rakyat) akan hal itu dan memohon majlis memerintahkan supaya pindaan itu terus dipertimbangkan oleh majlis pada satu hari yang ditetapkan dalam Aturan Urusan Mesyuarat,” katanya.

Johari turut memaklumkan bahawa Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri pada Selasa dan Khamis akan dijawab oleh menteri berkenaan memandangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menghadiri Pre-Council Mesyuarat Majlis Raja-Raja dan Mesyuarat Majlis Raja-Raja pada minggu ini. - 22 Jun, 2026

The post Hamzah kembali terajui blok pembangkang, Agong perkenan lapan akta: Speaker appeared first on Scoop.